Ujian Datang Menjenguk Kita
Gerimis demi gerimis yang jatuh ke bahu sepanjang kita berjalan di
jalan raya kehidupan ini adalah satu titik tolak untuk kita menjadi
lebih baik. Akan tetapi, kita sebagai manusia perlu bijak untuk
memenangi dan berlumba dengan ujian. Sama ada kita kalah dalam
perlumbaan sengit ini atau kita menang dan menerima satu lagi sijil
universiti kehidupan. Sedar atau tidak, dalam kebanyakan masa, kita
banyak belajar dari perkara atau peristiwa pahit yang berlaku di
sepanjang kehidupan.
Kerana apa? Kerana manusia lazimnya berfikir untuk berubah apabila
merasakan dirinya sudah ditimpa kesusahan dan kesempitan. Dengan cara
inilah manusia dapat belajar sesuatu tentang kehidupan. Tanpa musibah,
hampir sahaja kita melakukan perkara yang sama setiap hari tanpa
memikirkan apa dan kenapa perkara itu kita lakukan.
Ayuh kita lihat beberapa situasi,
• Bilakah masanya kebanyakan dari kita mula mengamalkan diet dan
melakukan senaman? Ya, tentu sekali apabila merasakan berat badan
semakin meningkat. Juga apabila doktor mula berpesan "Kalau kamu masih
lagi tidak mengubah corak kehidupan yang gemar makan apa sahaja, maka
tunggu sahaja saatnya kamu akan jatuh sakit." Lalu, kita pun mulakan
perubahan.
• Di dalam persahabatan, kita hanya mula menyedari keberadaan
sahabat kita apabila dia sudah bosan dengan sikap dan keburukan kita
yang tidak pernah diubah. Di masa itu, kita mula bekerja keras untuk
mengambil hatinya kembali kerana merasa kehilangan.
• Setelah kehilangan ramai pelanggan yang berharga, barulah
seorang CEO sebuah syarikat belajar ilmu-ilmu berkenaan bagaimana untuk
memberi servis terbaik untuk para pelanggannya.
• Seorang anak yang tidak baik kepada ibu bapanya hanya akan mula
berasa menyesal yang teramat apabila melihat jenazah kaku si ibu di
pembaringan. Pada saat itulah, penyesalan mula timbul. Lalu barulah
hendak menyulam penyesalan dan berniat untuk sebuah perubahan.
• Bilakah pula masanya kita mula berdoa dan kembali kepada Allah?
Setelah kita mula merasakan diri kita berada di dalam kesempitan
musibah. 'Wahai Allah, berilah kemudahan kepada kesusahanku dan ampuni
dosaku kerana melupakanmu." Itulah doa kita!
Begitu sifat asal manusia, kesempitan, kerugian dan kesusahan mampu
merubah diri kepada yang lebih baik dan positif. Dan kerana itulah kita
perlukan ujian! Lantaran itu, selalu sahaja kita mendengar "ujian itu
adalah rahmat". Dan tidak asing juga"ujian itu tanda kasih sayang Allah
kepada kita" sering kita dengari apabila kita berada di dalam kesusahan.
Fitrahnya, setiap yang diuji dengan kesusahan pasti dihujungnya ada
keindahan. Semakin ujian itu berat, maka semakin jualah keindahan yang
berada di hujung jalan kehidupan itu lebih membahagiakan. Namun hanya
merasa bahagia apabila ujian itu dihadapi dengan tenang dan optimis.
Hadapilah ujian itu dengan senyuman dan segunung harapan. Senyum
tanda syukur dan berharap hanya pada Allah SWT semata. Semoga Allah SWT
memberikan keringanan untuk menghadapi ujian dengan ditambahkan kekuatan
iman dan taqwa. Semoga dengan 'berat'nya iman dapat menghilangkan rasa
peritnya ujian.
Apapun keadaan, apabila ujian menjenguk kita hadapilah dengan tenang.
Sentiasa bersangka baik dan bersyukur kerana Allah SWT sentiasa memberi
suntikan sebagai tanda ingatan kepada kita agar tidak terus leka
kealpaan. Adakalanya Allah SWT hadirkan ujian dan kesusahan dalam hidup
kita itu tanda Allah rindu untuk mendengar bicara kita. Maka berdoalah
kerana Dia Maha Mendengar!
No comments:
Post a Comment