Wednesday, April 2, 2014

PILIHAN SELEPAS TAMAT BELAJAR

 “Apa propsek kerja kau lepas habis belajar ni Amin?” Garau suara Mukmin bertanya. Mereka duduk di bawah pohon yang rendang sambil menikmati ABC mamak yang dijual atas lori putih.
“Aku takde gambaranlah kerja apa yang aku nak lamar lepas habis kerja ni Min. Agak-agak apa pekerjaan yang sesuai bagi pelajar yang pointercukup-cukup makan macam aku ni?” Amin menjawab pesimis. Ada nada merendah diri.
“Kau ni Amin… belum habis belajar lagi dah pesimis macam tu. Belum bertarung dah kalah. Itulah sebab kau takkan dapat kerja nanti. Bukan sebab pointer kau. Pointer tu hanya added value sahaja untuk. Syarikat sekarang ni nak ambil orang yang berkeyakinan tinggi.” Mukmin cuba untuk memotivasikan sahabatnya.
Amin tertunduk lesu. Tinggal beberapa langkah lagi dia akan melangkah keluar dari menara gading. Impiannya hanya satu, mendapatkan segulung ijazah untuk dipersembahkan kepada kedua orang tuanya. Itulah niatnya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke universiti.
Namun nasib tidak menyebelahi Amin. Dia setiap semester, keputusannya hanya cukup-cukup makan padahal dia kategori pelajar yang rajin.
“Apa yang kau cakapkan tu senang Mukmin. Hakikatnya, nak laksanakan susah…”
“Apa yang susah? Kau bukan tak sempurna anggota badan. Kalau nak diikutkan kau ni kategori ada rupalah. Cuma tambah keyakinan diri je.”
“Pandailah kau nak ambil hati aku.” Amin tersenyum mendengar pujian dari Mukmin.
“Aku bukan nak mengampu. Aku cakap benda yang betul. Jadi apa prospek kerja impian kau?”
“Aku berminat dalam bidang kejuruteraan. Tapi sekarang aku tercebur dalam bidang pendidikan. Mungkin itu salah satu faktor kenapa aku kurang cemerlang.”
“Amin… Amin… ada saja alasan kau ni. Orang kalau dah tak mahu 1001 macam alasan. Kau jangan terasa Amin. Tapi kalau betul kau minat dengan bidang kejuruteraan, tak ada siapa pun yang boleh menghalang laluan kau ke sana. Sama ada kau mahu atau tak je.”
“Iyalah pakar motivasi terulung… Akan aku usahakan impian dan cita-citaku.”
“Ha, buat jangan tak buat! Eloklah kalau dah minat tu jangan tangguh-tangguh, nanti padam pulak semangat yang berapi-api tu.” Sambung Mukmin. Dia berharap sahabatnya akan mendengar pesanan dan kata-katanya.
Membuat Pilihan
Bukan memilih jodoh saja sulit sekarang ini. Memilih kerja pasca graduan juga mempunyai kesulitan tersendiri. Ramai bekas graduan yang telah menyelesaikan pelajaran keliru memilih pekerjaan selepas tamat pengajian.
Tidak kurang juga yang mengalami tekanan akibat pengajian yang diambil tidak bersesuaian dengan kerja yang dilamar. Akibatnya ramai graduan memilih untuk menganggur sebagai jalan penyelesaian.
Meskipun tahu menganggur adalah sebuah ‘aib’, namun pilihan itu dirasakan lebih baik daripada salah menceburi bidang pekerjaan. Tahukah mahasiswa dan mahasiswi sekalian bahawa kebanyakkan syarikat lebih cenderung menerima ‘lamaran’ kerja dari mereka yang berpengalaman meskipun mempunyai kelulusan di bidang yang berbeza?
Andaiannya seperti ini, Ahmad merupakan seorang graduan bidang pergigian dari sebuah IPT swasta. Namun ditakdirkan beliau tidak menerima sebarang panggilan kerja. Ahmad hampir putus asa. Namun, ibunya memberi semangat untuk mencuba pekerjaan dalam bidang yang berbeza iaitu perniagaan. Berbekal modal lima ratus ringgit Ahmad mula berniaga kecil-kecil dipasar malam.
Beliau menjual makanan-makanan sunnah seperti madu, kismis, kurma dan lain-lain lagi. Perniagaan Ahmad kurang mendapat sambutan di pasar malam. Ibunya sekali lagi memberi cadangan agar beliau membuka tapak perniagaan di ceramah-ceramah agama. Selain berniaga, beliau turut dapat menambah ilmu pengetahuan.
Berkat usaha yang berterusan dan tidak berputus asa. Kini Ahmad telah meiliki sebuah kios makanan sunnah disebuah pasaraya yang terletak di Shah Alam. Ilmu pergigian yang beliau perolehi turut dapat dipraktikkan jika ada pelanggan yang bertanya tentang kesihatan gigi.
Jika kita lihat, pergigian dan perniagan sama sekali tidak mempunyai kaitan. Namun, apa yang dilakukan oleh Ahmad adalah mendengar nasihat sang ibu dan yakin bahawa pekerjaannya akan membuahkan hasil. Jika Ahmad memilih untuk menganggur maka bilakan impian dan cita-cita beliau akan terlaksana? Disinilah letaknya akal dalam membuat pilihan.
Pekerjaan Kecil oleh Seorang yang Besar
Rasulullah s.a.w. memulakan karier baginda sejak berusia 7 tahun. Pada usia kanak-kanak yang sedang seronok bermain, Baginda telah menjadi seorang pengembala kambing. Baginda adalah seorang pesuruh Allah yang mulia. Dijaga dari dosa. Namun perjalanan Baginda menjadi seorang Rasulullah bukan sebuah perjalanan yang mudah.
Pekerjaan sebagai pengembala kambing, diikuti pula menjadi seorang peniaga telah mengajar baginda untuk sentiasa tawadhu, amanah dan rendah diri. Baginda tidak sombong meskipun datang dari keturunan yang besar, iaitu arab Quraish. Sifat tawadhu Baginda akhirnya menjadikan Baginda seorang pemimpin yang hebat, lembut hati dan mencintai umatnya.
Pekerjaan kecil yang lakukan telah mendisiplinkan Baginda dan akhirnya menjadikan Baginda pemimpin terulung yang tiada bandingnya hingga kini. Maka siapakah yang dapat menentukan sesebuah pekerjaan mampu menjamin kemuliaan seseorang?
Pengalaman itu Mendewasakan
Sahabat mahasiswa, bekerja tidak pernah merugikan. Asalkan ia halal dan bermanfaat. Bekerja akan memberi kita pengalaman yang berharga, juga membaiki akhlak kita agar lebih tawadhu.
Jangan sesekali kita memilih untuk ‘mengosongkan’ masa demi sesuatu yang tidak pasti. Bekerjalah walaupun bukan dalam bidang yang kita impikan sehingga suatu saat nanti kita mampu untuk mencapai impian kita.
Memilih untuk membiarkan masa kosong tidak berisi akan mengakibatkan ‘kebekuan’. Ibarat sungai yang tidak mengalir. Terkumpul di dalamnya kotoran dan akhirnya menimbulkan bau yang tidak menyenangkan.
Sepertimana ramai alim ulamak yang menasihatkan agar para remaja mengisi masa dengan perkara yang bermanfaat, maka seharusnya pasca graduan jangan sesekali kita biarkan masa terbuang begitu sahaja. Masa dan usia yang dibuang untuk perkara yang tidak bermanfaat akan melahirkan penyesalan seumur hidup.
Ambillah kesempatan untuk menceburi dan mendalami apa jua bidang. Anda akan merasakan nikmatnya memperolehi pengalaman, lebih besar daripada nikmat memperolehi uang gaji. Pengalaman mendewasakan, ia akan menjaga kita agar tidak tersalah langkah dikemudian hari. Sedangkan uang atau gaji akan habis jika tidak dilaburkan ke jalan yang bermanfaat. Semoga kita dipandu oleh Allah s.w.t. dalam membuat setiap keputusan penting dalam kehidupan

Wednesday, December 18, 2013

Untuk Difikirkan Bersama. @_@


Mungkin Tuhan sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul supaya apabila kita akhirnya menemui insan yang betul, kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian tersebut.

Apabila salah satu pintu kebahagiaan tertutup, yang lain akan terbuka tapi lazimnya kita akan memandang pintu yang telah tertutup itu terlalu lama tinggakan kita tidak nampak pintu yang telahpun dibukakan untuk kita. 

Kawan yang paling baik ialah seseorang yang anda boleh duduk di dalam buaian dan berbuai bersama tanpa berkata apa-apa pun dan kemudian berjalan pulang dengan perasaan bahawa itulah perbualan yang paling hebat yang pernah dialami. 

Memang benar yang kita tidak akan tahu apa yang telah kita punyai sehinggalah kita kehilangannya dan juga benar bahawa kita tidak tahu apa yang kita rindukan sehinggalah 'ia' datang. Memberi seseorang seluruh cinta anda bukanlah satu kepastian yang mereka akan menyintai anda kembali ! Jangan harapkan cinta sebagai balasan. 

Nantikan sahaja ia untuk mekar di dalam hati mereka tapi sekiranya ia tidak, pastikanlah ia terus mekar di dalam hati anda. Ia Cuma mengambil masa seminit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang, satu hari untuk menyintai seseorang tetapi ia mengambil masa sepanjang hidup untuk melupakan seseorang. 

Jangan pandang kepada kecantikan kerana boleh jadi ianya palsu. Jangan kejar kemewahan kerana ianya akan susut. Carilah seseorang yang membuatkan anda tersenyum kerana ia cuma memerlukan sekuntum senyuman untuk mencerahkan hari yang suram. Carilah yang membuatkan hati anda tersenyum. 

Akan tiba satu ketika di dalam kehidupan apabila anda teramatkan rindukan seseorang sehingga anda ingin menggapainya dari mimpi anda dan memeluknya dengan sebenar. Mimpilah apa yang ingin anda mimpikan, pergilah ke mana-mana yang ingin anda tujui dan jadilah apa yang anda inginkan kerana anda hanya memiliki satu kehidupan dan satu peluang untuk melakukan semua perkara yang ingin anda lakukan. Semoga anda memiliki kebahagiaan yang cukup untuk membuatkan diri anda menarik, percubaan yang cukup untuk membuatkan anda kuat, kesedihan yang cukup untuk memastikan anda adalah seorang insan dan harapan yang cukup untuk membuatkan anda bahagia. 

Selalu bayangkan diri anda di dalam kasut seseorang. Jika anda rasa ianya menyakitkan anda, fikirlah ia mungkin menyakitkan orang lain juga. Kebahagiaan seseorang manusia tidak semestinya dalam memiliki segala yang terbaik. Mereka hanya membuat yang terbaik dalam hampir apa saja yang datang di dalam perjalanan hidup mereka. Kebahagiaan terletak kepada mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mereka yang telah mencuba. Hanya mereka yang boleh menghargai kepentingan manusia yang telah menyentuh hidup mereka. 

Cinta bermula dengan senyuman, mekar dengan ciuman dan berakhir dengan tangisan. Masa depan yang cerah sentiasa berteraskan kehidupan yang lalu yang telah dilupakan. Anda tidak boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna sehingga anda melupakan kegagalan dan kekecewaan masa silam. 

Semasa anda dilahirkan, anda menangis dan orang di sekeliling anda tersenyum. Teruskanlah hidup anda supaya apabila anda mati nanti, andalah yang akan tersenyum dan orang sekeliling anda pula yang akan menangis.

Wednesday, December 4, 2013

Insan Bergelar Lelaki.. ^_^

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat para pembaca yang saya hormati sekalian.

Segala puji bagi Allah s.w.t atas segala-galanya yang telah diberikan kepada kita terutama nikmat iman dan nikmat Islam. 
Mohonlah kepada Allah s.w.t tanpa jemu agar kita dihidupkan dengan iman, dimatikan dalam iman dan dimasukkan ke dalam syurgaNya dengan iman.

Iman, iaitu kepercayaan dan keyakinan yang dilafazkan dengan lisan, dibuktikan dengan amalan zahir dan membenarkan dengan hati. 
Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w....





Seorang lelaki mengadu kepada Imam Sahl bin Abdullah At-Tustari: "Wahai tuan. 
Ada orang masuk ke rumahku lalu mencuri hartaku dan merosakkan barang-barangku."

Imam Sahl menjawab: 
"Bersyukurlah kepada Allah s.w.t kerana bukan syaitan yang masuk ke dalam hatimu, 
lalu mencuri imanmu dan merosakkan tauhidmu.

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami berpangkat Saifullah,
Tokoh hebat berjiwa gagah.

Kini,
Bila Disebut lelaki,
Wanitanya menunduk lemah sepi,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya sekadar boneka duniawi.

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang di hati,
Lelaki kami menjaga dan melindungi,

Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu menjauh lari,
Lelaki khianati hidup kami.

Dulu, 
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu’tasim kebanggaan wanita.

Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Wanita diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.

Dulu, 
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,
Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.

Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,

Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu,dunia dan seisinya.

Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad, tekun berdakwah,

Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.

Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunurian mati terbunuh,

Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh saudaranya.

Dulu, 
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,

Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri saling bertelingkah.

Kembalilah lelakiku,
pada kelelakianmu,
Kami rindukan lelaki dulu,
Acuan Madrasah Rasul.
  
 Lelaki, bukan sifatnya lemah, bukan sifatnya mengalah, lantas jangan terus dibiar rebah. Lalu, kau harus bangkit megah, tipuan dunia harus kau tongkah, tak sesekali tunduk pada mehnah, kembalilah pada fitrahmu yang sedia gagah, menjadi pelindung insan yang lemah, menjadi pendokong semangat ummah, kerna dirimu penyunting bidadari jannah.

InsyaAllah masih ada yang benar2 berjiwa hamba kepada Tuhan, namun merdeka daripada menjadi hamba keduniaan. Semoga yang masih teguh akan terus berdiri kukuh, semoga yang rebah akan kembali bangkit gagah.

#Nak nanges ase. @_@


Tuesday, December 3, 2013

Ukhwah fillah ^_^

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِيم 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat para pembaca yang saya hormati sekalian.

Segala puji bagi Allah s.w.t atas segala-galanya yang telah diberikan kepada kita terutama nikmat iman dan nikmat Islam. 
Mohonlah kepada Allah s.w.t tanpa jemu agar kita dihidupkan dengan iman, dimatikan dalam iman dan dimasukkan ke dalam syurgaNya dengan iman.

Iman, iaitu kepercayaan dan keyakinan yang dilafazkan dengan lisan, dibuktikan dengan amalan zahir dan membenarkan dengan hati. 
Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w...




Ukhwah itu indah apabila didalamnya terisi jutaan rahmat Allah...

Bila menangis ada yang meredakan,
Bila genbira ada yang mengingatkan,
Bila terleka ada yang menegur,
Bila sakit ada yang mendoakan,
Bila sihat ada yang meraikan 
dan segalanya lebih indah
seandainya ianya kerana Allah..

Ya Allah...

Andai sahabatku resah...

Tenangkanlah hatinya dengan teduhan ma'firahMu,

Andai dirinya terancam lindungilah jasadnya dengan kebesaranMu,

Andai tubuhnya kedinginan,
selimutkanlah ia dengan kasih sayangMu,

Andai dirinya merindu,
rindukanlah jiwanya dengan saat bertemu denganMu...

____________________________

Ya Allah...

Jangan Kau biarkan hati,
jiwa dan jasadnya terpesong dengan duniawi,

Khusyukkan jiwanya dalam rukuk dan sujud ketika menghadapMu,

Berikanlah kejayaan di dunia dan akhirat..

Semoga dirinya (sahabatku) selamanya.. 

Ku pohon ya Allah..

semoga ukhwah antara kami teguh selamanya kerana dia sahabatku...

kerana pada jalanMU kami bertemu,
kerana hati kami bertaut ketika
memadu kasih dan sayangMu..

Ku pohon lindungilah dia dengan maghfirahMu..
agar kekuatannya terletak pada taqwa dan iman bukan pada nafsu..

agar jiwanya tidak mudah dimamah bisikan syaitan 
agar tidak dipahat jamuan hiasan duniawi 
yang pastinya palsu dan merugikan..
ku pohon agar hatinya bersarang rindu untuk bertemu denganMu..
sehingga kami dipertemukan disana nanti..

Aamiin Ya Rabbal Alamin.

Friday, November 29, 2013

Aku Insan Yang Lemah...



Manusia sering mengeluh apabila diuji Allah dengan kesakitan, kegagalan, kekecewaan, kemiskinan dan kefaqiran. Tetapi manusia tidak pernah gelisah apabila diuji dengan kekayaan, kebahagiaan, kecukupan dalam kehidupan dan kemewahan. Itulah lumrah manusia..anda, saya dan kita semua.

Tetapi berbahagialah manusia yang diuji dengan kesakitan, kegagalan, kekecewaan dan kemiskinan kerana sesungguhnya mereka di dalam golongan yang dikasihi oleh Allah. Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w suatu ketika menangis apabila mereka tidak diuji oleh Allah, kerana takut mereka telah hilang kasih sayang Allah. Tetapi kita hari ini di saat diuji...

Maka ketika hati kita tertanya-tanya “Mengapakah aku yang diuji?” Maka ingatlah firman Allah: 
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang dusta."
- Surah Al-Ankabut ayat 2-3 -

Tatkala diri berkata “Mengapakah aku tidak memperolehi apa yang aku citakan?” Allah berfirman:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
- Surah Al-Baqarah ayat 216 -

Lantaran disaat diri terasa lemah, nafsu telah mengalah, hidup terasa tidak bermakna lagi maka renungilah ayat Allah:
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
-  Surah Al-Imran ayat 139 -

Tika hati bermonolog “Bagaimanakah harus aku hadapi semua ini?” Maka Allah telah berfirman untuk mu:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
- Surah Al-Imran ayat 200 -

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
- Surah Al-Baqarah ayat 45 -

Sementara dirimu tercari-cari dahan untuk bergantung pada seseorang untuk memperolehi kekuatan, Allah telah sedia bersamamu:
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
- Surah At-Taubah ayat 129 -

Dan apabila kau merasakan “AKU DAH TAK TAHAN!!!” Maka ingatlah firman Allah..
"... ..dan janganlah kamu berputus asa dar rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
- Surah Yusuf ayat 12 -

Sesungguhnya...
"Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..”
- Surah At-Taubah ayat 111 -

Dan akhir sekali ingatlah diriku, dirimu dan diri kita semua
“Allah tidak akan membebankan seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
- Surah Al-Baqarah ayat 286 -

“Ya Allah...
Jika ujian ini untuk menguji keimananku, berilah aku kekuatan, keimanan dan ketaqwaan. Jika ujian ini untuk kaffarah dosa-dosaku, berilah aku kesabaran dan keredhaan.”

Menggali Hikmah Disetiap Kejadian Dan Setiap Kesedihan




Tidak salah bersedih, tetapi perlukah kita tunjukkan?

Menangis? Adakah kita mahu dilihat oleh orang ramai?

Jangan biarkan perkara itu menimpa kita, sahabat. Jangan nampakkan kesedihan kita. Teruskan melangkah. Tatap masa hadapan dengan penuh keyakinan.

Teruskan tersenyum dan tunjukkan kita sedang bahagia.

Waktu itu kekuatan mental kita diuji. Adakah kita kuat menghadapinya ataupun jatuh tersungkur dan terkulai. Berusahalah untuk tidak menunjukkan kesedihan!

Menggali Hikmah Dalam Setiap Kejadian

Jangan berhenti menggali hikmah-Nya.

Ibnu Al-Jauzy berkata,

“Sekiranya kamu tidak mampu menangkap hikmah, bukan kerana hikmah itu tiada, tetapi kerana kelemahan daya ingatan kamu sendiri. Kamu perlu tahu, raja juga memiliki rahsia yang tidak diketahui oleh orang kebanyakkan. Bagaimana kamu yang begitu lemah, mampu mengungkap semua hikmah-Nya?“

Banyak perkara yang terjadi dalam hidup ini, pada awalnya kita mengganggap pahit, getir, mahupun menyakitkan. Tetapi, pada kemudian hari kita mensyukurinya.

Sebaliknya, tidak sedikit perkara yang pada awalnya kita sambut dengan rasa gembira, tetapi pada kemudian hari kita bermuram durja dan menitiskan air mata kerananya.

Pengajaran Hudaibiyah

Kisah Rasulullah SAW dan para sahabat banyak memberikan pengajaran yang sangat berharga pada kita, salah satunya dalam peristiwa Hudaibiyyah.

Dalam satu klausa perjanjian Hudaibiyah menyatakan, Rasulullah SAW perlu kembali ke Madinah dan tidak boleh memasuki Makkah hingga tahun hadapan. Klausa berikutnya menyatakan, kedua-dua belah pihak perlu melakukan gencatan senjata selama 10 tahun.

Beberapa sahabat berasa sedih kerana mereka sudah dijanjikan bagi memasuki Makkah, tetapi terpaksa berpatah balik dan pulang ke Madinah.

Namun, sesuatu yang pada awalnya dirasakan pahit, menjadi manis selepas beberapa tahun.

Antaranya pengislaman beberapa tokoh Quraisy seperti Amru bin Al-Ash, Utsman Bin Thalhah dan Khalid Bin Al-Walid. Dalam rentang waktu itu, jumlah kaum muslimin bertambah ramai.

Hingga pada satu waktu, dengan kekuatan baru yang dimiliki, terjadi peristiwa yang tercatat dalam tinta emas sejarah, iaitu Fathu Makkah. Sebuah peradaban yang menerangi alam semesti ini sudah lahir.

Pelajaran berharga yang dapat kita ambil adalah, pasti ada hikmah daripada Allah ke atas setiap kejadian yang berlaku.

Persoalannya, adakah kita berusaha mencari ataupun menggali hikmah nya? Atau pun tidak langsung?

Bila Hikmah itu akan muncul?

Boleh jadi pada waktu itu juga, selepas seminggu, sebulan atau bertahun lamanya. Kita tidak akan tahu, tetapi yang pasti ia tetap akan muncul.

Setiap kejadian, pahit ataupun manis, pasti ada hikmah ataupun pelajaran berharga. Semasa perkara itu terjadi, kita perlu bersedia menghadapinya.

Daripada bertanyakan mengapa, lebih baik kita fokuskan perkara yang perlu dilakukan bagi menghadapi keadaan ini...^_^


Saya Dia Dan Allah =)

Kita tak boleh suruh seseorang tunggu kita. Kasihan dia. Sebab terpaksa tunggu kita habis belajar, perbaiki diri, dan lain-lain perkara yang kita perlu buat.

Lepaskanlah. Itu yang terbaik. Dan jangan lupa untuk doakan yang terbaik juga untuk dia. Tak baik halang orang dalam mencari kebahagiaan. Dia juga berhak untuk bahagia. Kalau kita suruh dia tunggu, kita seolah-olah menyekat kebahagiaan dia. Itu zalim namanya.

Lepaskanlah. Barulah jiwa tenang.

Kalau Allah SWT dah tetapkan dia jodoh kita, memang pastinya dia akan kahwin dengan kita, hidup bersama dengan kita. Kalau betul dia jodoh kita, tiada seorang pun yang boleh memiliki dia selain kita.

Jadi tak perlu gundah gulana.

Yang penting sekarang, usaha perbaiki diri kita. Jadi hamba Allah yang berguna untuk agamaNya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...