Monday, February 14, 2011

Sejarah Sambutan Maulidur Rasul s.a.w.

Salam Selasa & Salam Maulidur Rasul kepada rakan-rakan semua. Semestinya ramai yang bercuti hari ini bersempena dengan Hari Memperingati Kelahiran Nabi Muhammad saw. Saya harap agar anda semua dapat menikmati cuti dengan aktiviti yang berfaedah.
Seperti yang kita sedia maklum, tiap-tiap tahun kita memang tak pernah lupa untuk meraikan hari kelahiran junjungan besar nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan perarakan, ceramah agama, bacaan selawat dsb. Tapi tahukah kita akan sejarah bermulanya sambutan Maulidur Rasul ini.
Untuk entri kali ini, saya akan cuba berkongsi sedikit maklumat mengenai tajuk di atas secara ringkas.
SEJARAH MAULIDUR RASUL:
Perayaan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh Kerajaan Fatimiah di Mesir. Kerajaan Fatimiah telah merayakan perayaan ini secara besar-besaran. Bukan hanya hari jadi Rasulullah s.a.w, tetapi juga ahli keluarga Nabi s.a.w seperti Zainab, Hassan, Hussein (r.a) juga dirayakan.
Walaubagaimanapun, perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 atas perintah Perdana Menteri, Al-Afdal Shahindah pada ketika itu yang berpegang kuat pada sunnah seperti yang tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer. Masyarakat berhenti merayakannya sehingga Al-Ma’moon Al-Bataa’ni memegang kuasa kerajaan ketika itu. Beliau telah memulakan kembali perayaan yang telah dihentikan sebelum itu.
Perayaan diadakan pada 8 Rabiulawal dan kadang-kadang pada 12 Rabiulawal. Sambutannya diisi dengan pelbagai acara antaranya membaca sejarah Nabi s.a.w sehinggalah kepada menghias binatang ternakan untuk disembelih kemudian dijadikan jamuan besar-besaran.
HUKUM MAULIDUR RASUL:
Seperti yang telah kita maklum, perayaan Maulidur Rasul ini merupakan satu perayaan yang kontroversi. Para ulama’ berbeza pendapat akan kebolehan perayaan ini. Ada yang membolehkan dan sebaliknya. Kita sebagai masyarakat awam tersepit antara dua pendapat. Yang mana kita harus turuti. Sedangkan kedua-dua belah pihak terdiri daripada ulama-ulama yang hebat dan tidak boleh ditolak lagi akan kewibawaan mereka.
HUJAH YANG MEMBOLEHKAN MAULIDUR RASUL:
Salah seorang ulama yang membolehkan perayaan Maulidur Rasul ini ialah Syeikh Yusuf Qardawi. Antara ringkasan kata-kata beliau:
Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah s.a.w. Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah s.a.w. dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah s.a.w. itu kekal di dalam hati dan ingatan.
Walaubagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya. Dengan itu, perayaan Mauildur Rasul ini diadakan bertujuan untuk mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah masih hidup. Tetapi malangnya, Maulidur Rasul ini telah bercampur dengan amalan bid’ah yang ditentang oleh Islam.
Maka dibolehkan meraikan Maulidur Rasul ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bid’ah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam.”
Berikut adalah antara dalil-dalil yang menjadi hujah membolehkan Maulid ini:
1) Allah berfirman:
Maka orang-orang yang berfirman kepadanya (Muhammad s.a.w.) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Surah Al-Araf: Ayat 57)
Keterangan:
Tujuan maulid diadakan adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad s.a.w. Maka perayaan maulid masuk dalam umum ayat tersebut.
2. Firman Allah:
Dan ingatlah mereka dengan hari-hari Allah. (Surah Ibrahim: Ayat 5)
Keterangan:
Al-Baihaqi di dalam “Syakbu Al-Iman” daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi s.a.w., sesungguhnya baginda menafsirkan “hari-hari Allah” ialah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh Al-Ma’ani menjelaskan lagi dengan katanya “kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. merupakan nikmat yang paling besar”.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...