Friday, January 21, 2011

KITA AMAT MEMERLUKAN ALLAH SWT


Putera-puteri harapan ummah yang dkasihi sekalian. Marilah kita melihat satu hakikat yang sangat besar dalam kehidupan, iaitu kita adalah para hamba yang faqir yang sangat-sangat memerlukan Allah SWT sedangkan Allah SWT adalah al Ghani, Yang Maha Kaya, yang tidak punya keperluan apa-apa. 

Manusia hari ini majoritinya sangat jauh dari Allah sehingga tidak merasakan keperluan untuk menghubungkan diri dengan Allah. Mereka amat bergantung kepada makhluk yang sangat lemah tetapi terputus dari Allah Yang Maha Kuat. 


Kita memerlukan Allah dalam urusan yang kita amat jahil, maka kita memerlukan hidayah dan petunjuk Allah 


Kita memerlukan Allah dalam urusan yang kita punya pengetahuan tetapi tidak mampu untuk mengamalkannya. Maka kita perlu memohon keampunan serta bertaubat dari kelemahan dan kelalaian kita 


Kita perlu sentiasa diperingatkan bahawa kita sangat perlu kekuatan dan bimbingan Allah untuk meninggalkan 'zhulumat' kegelapan jahiliyyah dalam masuk secara total ke dalam cahaya petunjuk Allah. Kita perlu ingat bahawa bila kita diseru untuk mentauhidkan Allah, berubudiyyah kepada Allah serta mentaati-Nya, Maha Suci Allah dari sebarang keperluan dan Allah Maha Agung dan Maha Besar, tidak memerlukan semua itu. Allah tidak sekali-kali memerlukan kita dan pengorbanan dan jihad kita. Kesemua itu adalah keperluan kita. 


Sekiranya kita lalai atau enggan menunaikan hak-hak Allah yang telah ditentukan ke atas kita, maka Allah Maha Berkuasa dengan mudah untuk mencipta dan memilih kelompok baru untuk berubudiyyah kepada-Nya dan berjuang untuk menegakkan Deen-Nya.


Anak-anak yang dikasihi, marilah kita memohon dengan penuh rendah diri kepada Allah SWT agar dikurniakan dalam hati-hati kita rasa sangat berhajat kepada Allah SWT, khususnya keperluan kita agar hati kita dapat terus hidup dan mampu menghilangkan bahan-bahan cemar hati, rawasib , yang melumpuhkan dan mematikan hati. Hanya Allah sumber pertolongan dan perlindungan bagi kita...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...