Mengapa
begitu sukar mencintai Allah? Ya, benar. Memang sukar mencintai
Allah.Walaupun kita tahu bahawa Dialah yang sewajarnya kita cintai.
Budi-Nya, kasih-sayang-Nya, nikmat-Nya terlalu banyak untuk dimungkiri.
Segala kebaikan Allah yang dilimpahkan-Nya ke atas kita melebihi
kebaikan manusia. Sekalipun manusia itulah yang paling baik dengan kita.
Hatta kasih ibu yang sejati itupun hanya ‘sekelumit’ jika hendak dibandingkan
dengan kasih Allah yang melangit. Ya, sekali lagi kita bertanya kepada
hati kita… kenapa sukar benar mencintai-Nya? Walaupun fikiran kita
mengiyakannya, iaitu lojik dan patut kita mencintai Allah. Tetapi hati
kita masih berat, masih sukar merasainya.
Mengapa
hati sedegil itu? Untuk mengetahui kenapa, mari kita bandingkan hati
kita dengan fizikal kita. Dalam keadaan badan sihat, kita boleh makan
dengan berselera sekali. Hadapkan ayam goreng, asam pedas, tomyam atau
apa sahaja masakan yang enak-enak, tentu mulut kita dapat menikmatinya
dengan lazat.
Tetapi
apa kata kalau badan kita tiba-tiba jatuh sakit? Demam selsema menimpa.
Tekak kita jadi pahit, selera kita jadi sempit. Ketika itu,
hidangkanlah makanan selazat manapun, insya-Allah mulut kita akan
menolaknya. Yang manis terasa pahit. Segala-galanya bertukar menjadi
hambar, kelat dan meloyakan.
Kenapa
jadi begitu? Apakah makanan itu yang berubah rasa atau mulut kita yang
berubah selera? Tidak, makanan tetap sedap. Tetapi bila badan kita
sakit, selera kita akan pahit. Begitulah hati kita apabila tidak mahu
mencintai Allah. Bukan kerana cinta Allah itu tidak agung, tidak hebat,
tidak indah tetapi hati kita yang sakit.
Hati
yang sakit tidak akan dapat menikmati keindahan cinta Allah seperti
badan yang sakit tidak dapat menikmati kelazatan makanan. Jika
perbandingan ini dapat diterima, maka kita boleh mengukur tahap
‘kesihatan’ hati kita.
Rupa-rupanya
dalam kehidupan ini ramai manusia (termasuk kita) yang ‘sakit’ hati.
Bila kita tidak dapat merasai cinta Allah, sebaliknya lebih cinta selain
Allah, maka itulah tandanya hati kita sedang menderita kesakitan. Malah
‘sakit’ hati ini lebih buruk akibatnya daripada sakit fizikal.
Jika
sakit fizikal akan menyebabkan kita menderita di dunia, sakit hati
akibat gagal mencintai Allah akan menyebabkan kita menderita di dunia
dan menderita di akhirat. Jika sakit fizikal berakhir dengan kematian,
tetapi ‘sakit’ hati akibat lebih parah. Kita akan menderita
selama-lamanya di akhirat.
Mengapa hati kita sakit?
Hingga
dengan itu hati tidak bergetar lagi dengan cinta Allah? Bukankah cinta
Allah itu fitrah? Ertinya, cinta Allah itu adalah ‘makanan’ atau
‘penawar’ kepada hati manusia. Sebelum menjawabnya izinkan saya membawa
satu analogi. Katalah, ada seorang anak yang sejak kecilnya lagi sudah
dipisahkan daripada ibunya yang sejati. Oleh kerana ada masalah yang
tidak dapat dielakkan, anak itu dipelihara oleh ibu angkat. Masa berlalu
bertahun-tahun. Hinggalah anak itu mencapai usia dua puluhan.
Tiba-tiba,
si anak mengetahui rahsia yang dia sebenarnya cuma anak angkat sahaja
kepada ‘ibunya’ sekarang. Dia pun mencari ibunya yang sejati. Ibu yang
telah mengandungkan dan melahirkannya. Maka di hari pertemuan bersejarah
itu (masih ingat program Jejak Kasih?), sianak pun bertemu dengan ibu
sejatinya ditemani oleh ibu angkatnya.
Saya
ingin bertanya, dan anda boleh menjawabnya… pada ketika itu, siapakah
yang lebih dikasihi oleh sianak? Ibu sejati yang telah terpisah sekian
lama itukah atau ibu angkatnya yang telah memelihara selama ini?
Anda
pasti setuju kalau saya katakan, hati sianak akan lebih mengasihi ibu
angkat yang telah memeliharanya selama dua puluh tahun berbanding ibu
sejati yang baru dikenalinya pada hari pertemuan itu. Walaupun pada
lojik dan dari segi rasionalnya, ibu sejati perlu dikasihi berbanding
ibu angkat, tetapi dari segi perasaan sianak tidaklah begitu. Sayang
bukan paksaan. Sayang bukan pemikiran. Tetapi ia soal rasa. Ia datang
dengan sendirinya. Kenapa sayang dan cinta sianak tak mahu bertandang
walaupun dia patut merasa begitu?
Kenal Allah Dari Alam Roh
Maka
begitulah halnya dengan hati kita. Sebenarnya, sejak di alam roh lagi
kita sudah kenal Allah dan mengakui Dialah Tuhan kita. Firman Allah:
“Bukankah Aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab, ‘Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.”
Al-A’raf : 172
Di
alam roh lagi kita telah mengenal Allah. Bahkan telah mengakuinya
sebagai Rob (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana
siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan mencintai-Nya. Namun perlu
diingat, mengenal dan mengetahui itu berbeza. Mengenal dengan hati,
mengetahui dengan akal. Sebenarnya, hati kitalah yang telah mengenal
Allah di alam arwah dahulu bukan akal kita. Tegasnya, cinta sejati sejak
diri bermula ialah cinta Allah.
Malangnya,
ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja mereka
lahir ke dunia. Kita mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti
seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat
cinta sejati di hati kita telah diambil oleh ‘cinta angkat’. Kita telah
terpisah dari Allah. Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah?
Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah
ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak mengenalkannya kepada Allah.
Akibat Benih Cinta Allah Terbiar
Konsep
didikan yang bertitik-tolakkan ‘Awaludin makrifatullah’ – awal agama
mengenal Allah’ tidak diberikan. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam
diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi. Akibatnya, kita kenal ‘selain
Allah’. Maka cinta kita pun beralih arah. Hakikat ini ditegaskan oleh
sabda Nabi saw:
“Tiada
seorang bayi pun yang lahir melainkan dia dilahirkan di atas fitrah.
Lalu kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Majusi atau
Nasrani, seperti haiwan itu melahirkan haiwan yang sama secara utuh.
Adakah kamu menemukan adanya kecacatan?”
Riwayat Bukhari
Bermula
dari situ perpisahan dengan cinta Allah pun bermula. Makin bertambah
usia semakin jauh jarak perpisahan itu. Kekadang oleh corak pendidikan
yang diterima. Begitu juga media massa yang didengar dan lihat. Apa lagu
yang didengarnya? Apa filem yang ditontonnya? Cinta siapa yang lebih
kerap dilihat dan didengarinya? Malang sekali, bukan cinta Allah tetapi
cinta selain-Nya.
Puluhan
tahun si anak dibuai oleh cinta makhluk seperti seorang anak yang
dipelihara oleh ibu angkatnya. Hati, pemikiran, perasaan bahkan jiwa
telah diserah seluruh dan sepenuhnya kepada ‘cinta angkat’ itu. ‘Cinta
angkat’ itulah yang mendodoikannya sejak dia dalam kandungan ibu, di
dalam buaian, di rumah, di sekolah, di dalam masyarakat dan di seluruh
persekitarannya. Pancaindera kita sepenuhnya berinteraksi dan
berkomunikasi dengan cinta itu sahaja. Dan pada ketika itu manusia yakin
sepenuhnya bahawa ‘cinta angkat’ itulah cinta sejati kita.
Mencari Cinta Sejati
Ada
orang yang bernasib baik, tiba-tiba arus kesedaran melanda. Cahaya ilmu
menerpa dengan tiba-tiba. Lalu tersentaklah dia bahawa cinta itu bukan
cinta yang sejati. Ada cinta yang lebih hakiki. Itulah cinta Allah. Dia
mencari cinta itu, seperti anak angkat yang mencari ibunya yang sejati.
Lalu dia menemuinya.
Menerusi
pengajian, melalui pembacaan, menerusi lidah para daie, melalui tarbiah
para ulama tahulah dia bahawa Allah-lah cinta yang sejati. Namun…
semuanya masih di daerah ilmu, bukan di alam rasa. Dia tahu Allah wajib
dicintai, tetapi hatinya tidak merasai. Aduh, malangnya… akal tahu, hati
tak mahu!
Apa
yang perlu dibuat bila hati telah sakit? Tidak ada lain, kita mesti
mengubat dan merawatnya. Samalah seperti fizikal yang sakit, ia perlukan
ubat dan rawatan. Oleh kerana fizikal kita berasal dari tanah, maka
buatnya pun mesti berasal dari tanah. Feram, Natrium, Magnesiam dan
lain-lain unsur semuanya dari tanah. Herba juga demikian.
Ubat
sakit fizikal yang berasal dari tanah juga berasal dari tanah. Namun
hati adalah soal rohani, ia bukan berasal dari tanah. Jadi ubat dan
penawarnya bukan dari tanah. Tetapi ubat bagi hati ialah kembali kepada
asalnya, yakni kembali dekat kepada Allah.
Hati
yang dekat kepada Allah akan tenang dan sihat semula. Ia telah kembali
kepada fitrahnya. Itulah ubat hati. Namun jalan ke situ bukan mudah.
Ubat sakit fizikal selalunya pahit. Rawatan sakit fizikal juga perit.
Tetapi oleh kerana inginkan badan yang sihat kita rela menelannya. Kita
rela berpantang. Menahan daripada makan makanan yang berkolestrol,
lemak, manis, masin, berminyak walaupun itu semua kesukaan kita. Kita
ikut semua nasihat doktor. Berlari, bersenam dan mengawal stresss… kita
ikuti, patuhi walaupun berat kerana inginkan sihat.
Pengubat Hati
Maka
begitulah jalan untuk menyihatkan hati. Penawarnya pahit. Ubat jarang
yang manis. Namun, semua itu perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati?
• Hadiri majlis ilmu iaitu ilmu yg memberi menfaat.
Mula-mula
lazimilah menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu
adalah ‘taman syurga’ di dunia. Kata ulama, siapa yang tidak menghadiri
majlis ilmu selama 40 hari (sesetengahnya mengatakan 7 hari) maka hati
seseorang akan keras.
Walaupun
berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa
menelan ubat yang pahit. Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu.
Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna.
Nama-Nya yang baik dan mulia.
• Amal ilmu, dirikan solat.
Dari
sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu imam, amal adalah makmumnya.
Mulalah amalkan latihan-latihan asas dan teras untuk merawat hati. Ubat
hati ialah zikrullah – ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang
paling utama ialah mendirikan solat. Solat juga dikatakan berasal dari
‘silah’ (penghubung) antara hamba dengan Tuhan.
Fahami
makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada
segalanya itu ke dalam hati. Walau susah sungguh, tetapi paksalah diri.
Sedangkan
bisa boleh jadi biasa apabila dilazimi, apatah lagi ‘penawar’ tentulah
lebih mudah kita biasakan apabila dilazimkan. Ingat solat itu penawar.
Walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi
kemanisannya pasti datang juga jika kita berterusan mengamalkannya.
Ingat
selalu kata-kata, mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. No pain,
no gain. Sedangkan merebut cinta makhluk pun susah, apalagi mencari
cinta Allah. Tentulah lebih susah. Tidak ada jalan mudah, itulah
jalannya… jalan mujahadah.
• Berpantang
Seperti
sakit fizikal yang perlu pada pantang larangnya, begitu jugalah ‘sakit
hati’ ada juga pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi makan
‘racun’. Apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat penyakit darah
tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan?
Atau
pesakit kencing manis yang rajin menyuntik insulin tetapi rajin juga
minum teh tarik yang manisnya keterlaluan? Penyakit tidak akan sembuh,
jika melanggar pantang. Bahkan, sesetengah pengamal perubatan menegaskan
berpantang lebih baik daripada berubat.
Begitulah
halnya dengan usaha penyembuhan ‘sakit hati’, ada pantang larang juga.
Perlu ‘berpantang’ daripada perkara-perkara yang boleh menyuburkan
nafsu. Misalnya, melihat, mendengar atau terlibat secara langsung dengan
perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program
hiburan yang merangsang nafsu, filem-filem lucah, dan lain-lain suasana
yang boleh menyuburkan hawa nafsu. Sebaik-baiknya carilah kawan yang
seiya sekata. Bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu
tujuan dan satu rasa – yakni sama-sama ingin mencari cinta Allah.
• Cari perkumpulan yang baik.
Untuk
buat baik, perlu ada kumpulan. Untuk buat jahat, perlu ada ‘geng’. Bila
ada perkumpulan (dulu dikampus sering dinamakan study group atau
usrah), maka tentu ada program. Program yang baik boleh dibentuk sebagai
alternatif kepada program yang negatif. Membaca dan mengkaji buku-buku
agama, meningkatkan ilmu fardhu Ain, mendengar kuliah tafsir, mendengar
nasyid-nasyid atau lagu-lagu yang baik, program riadah, sukan dan rehlah
yang Islamik adalah program-program soleh yang boleh diatur oleh
perkumpulan itu.
Ini
adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda
kita. Kita ada kawan, ada aktiviti dan akhirnya terbentuklah suasana dan
persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi. Ingat, musuh
orang muda adalah ‘masa lapang’. Masa lapang ini perlu diisi dengan
kesibukan belajar dan memperbaiki diri. Dengan adanya program-program
ini pantang larang dalam usaha menyembuhkan hati yang sakit dapat
dijaga. Ada kawan mengingatkan. Ada program yang menyibukkan. Ada
suasana yang mencorakkan.
Inilah
sebahagian langkah untuk mengubat ‘sakit hati’ di kalangan para orang
muda masakini. Sebelum berpisah renungilah kata Imam Ghazali rhm:
“Pertama
telah kupandang makhluk yang banyak ini. Maka aku saksikanlah bahawa,
tiap-tiap mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya
tertambat. Sebahagian daripada kekasih itu hanya mendampingi sampai ke
sakit yang membawa maut dan sebahagian lagi hanya sampai ke tepi liang
kubur.
Setelah
itu kesemuanya pulang dan meninggalkan terbaring seorang diri. Tak
seorang jua pun yang turut masuk ke kubur dan menghiburnya di dalamnya.
Yang demikian tak kudapati selain amal yang soleh. Sebab itu maka
kuambil ia menjadi kekasihku, supaya kelak ia menjadi pelita di dalam
kuburku, menghiburkan dan tidak meninggalkan aku seorang diri.”
Oleh
itu, takutlah kepada kemurkaan Allah. Carilah keredhaan Allah ketika di
dunia lagi. Di akhirat nanti, bukan tempat untuk berbuat beramal. Alam
akhirat ialah tempat kita diperlihatkan kebaikan mahupun kejahatan walau
sebesar zarah pun.
Ya
Allah, bantulah kami untuk ingat pada Mu, syukur pada Mu dan
mengelokkan ibadah kami kepada MU! Bantulah mujahadah kami ya Allah…