Wednesday, April 2, 2014

PILIHAN SELEPAS TAMAT BELAJAR

 “Apa propsek kerja kau lepas habis belajar ni Amin?” Garau suara Mukmin bertanya. Mereka duduk di bawah pohon yang rendang sambil menikmati ABC mamak yang dijual atas lori putih.
“Aku takde gambaranlah kerja apa yang aku nak lamar lepas habis kerja ni Min. Agak-agak apa pekerjaan yang sesuai bagi pelajar yang pointercukup-cukup makan macam aku ni?” Amin menjawab pesimis. Ada nada merendah diri.
“Kau ni Amin… belum habis belajar lagi dah pesimis macam tu. Belum bertarung dah kalah. Itulah sebab kau takkan dapat kerja nanti. Bukan sebab pointer kau. Pointer tu hanya added value sahaja untuk. Syarikat sekarang ni nak ambil orang yang berkeyakinan tinggi.” Mukmin cuba untuk memotivasikan sahabatnya.
Amin tertunduk lesu. Tinggal beberapa langkah lagi dia akan melangkah keluar dari menara gading. Impiannya hanya satu, mendapatkan segulung ijazah untuk dipersembahkan kepada kedua orang tuanya. Itulah niatnya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke universiti.
Namun nasib tidak menyebelahi Amin. Dia setiap semester, keputusannya hanya cukup-cukup makan padahal dia kategori pelajar yang rajin.
“Apa yang kau cakapkan tu senang Mukmin. Hakikatnya, nak laksanakan susah…”
“Apa yang susah? Kau bukan tak sempurna anggota badan. Kalau nak diikutkan kau ni kategori ada rupalah. Cuma tambah keyakinan diri je.”
“Pandailah kau nak ambil hati aku.” Amin tersenyum mendengar pujian dari Mukmin.
“Aku bukan nak mengampu. Aku cakap benda yang betul. Jadi apa prospek kerja impian kau?”
“Aku berminat dalam bidang kejuruteraan. Tapi sekarang aku tercebur dalam bidang pendidikan. Mungkin itu salah satu faktor kenapa aku kurang cemerlang.”
“Amin… Amin… ada saja alasan kau ni. Orang kalau dah tak mahu 1001 macam alasan. Kau jangan terasa Amin. Tapi kalau betul kau minat dengan bidang kejuruteraan, tak ada siapa pun yang boleh menghalang laluan kau ke sana. Sama ada kau mahu atau tak je.”
“Iyalah pakar motivasi terulung… Akan aku usahakan impian dan cita-citaku.”
“Ha, buat jangan tak buat! Eloklah kalau dah minat tu jangan tangguh-tangguh, nanti padam pulak semangat yang berapi-api tu.” Sambung Mukmin. Dia berharap sahabatnya akan mendengar pesanan dan kata-katanya.
Membuat Pilihan
Bukan memilih jodoh saja sulit sekarang ini. Memilih kerja pasca graduan juga mempunyai kesulitan tersendiri. Ramai bekas graduan yang telah menyelesaikan pelajaran keliru memilih pekerjaan selepas tamat pengajian.
Tidak kurang juga yang mengalami tekanan akibat pengajian yang diambil tidak bersesuaian dengan kerja yang dilamar. Akibatnya ramai graduan memilih untuk menganggur sebagai jalan penyelesaian.
Meskipun tahu menganggur adalah sebuah ‘aib’, namun pilihan itu dirasakan lebih baik daripada salah menceburi bidang pekerjaan. Tahukah mahasiswa dan mahasiswi sekalian bahawa kebanyakkan syarikat lebih cenderung menerima ‘lamaran’ kerja dari mereka yang berpengalaman meskipun mempunyai kelulusan di bidang yang berbeza?
Andaiannya seperti ini, Ahmad merupakan seorang graduan bidang pergigian dari sebuah IPT swasta. Namun ditakdirkan beliau tidak menerima sebarang panggilan kerja. Ahmad hampir putus asa. Namun, ibunya memberi semangat untuk mencuba pekerjaan dalam bidang yang berbeza iaitu perniagaan. Berbekal modal lima ratus ringgit Ahmad mula berniaga kecil-kecil dipasar malam.
Beliau menjual makanan-makanan sunnah seperti madu, kismis, kurma dan lain-lain lagi. Perniagaan Ahmad kurang mendapat sambutan di pasar malam. Ibunya sekali lagi memberi cadangan agar beliau membuka tapak perniagaan di ceramah-ceramah agama. Selain berniaga, beliau turut dapat menambah ilmu pengetahuan.
Berkat usaha yang berterusan dan tidak berputus asa. Kini Ahmad telah meiliki sebuah kios makanan sunnah disebuah pasaraya yang terletak di Shah Alam. Ilmu pergigian yang beliau perolehi turut dapat dipraktikkan jika ada pelanggan yang bertanya tentang kesihatan gigi.
Jika kita lihat, pergigian dan perniagan sama sekali tidak mempunyai kaitan. Namun, apa yang dilakukan oleh Ahmad adalah mendengar nasihat sang ibu dan yakin bahawa pekerjaannya akan membuahkan hasil. Jika Ahmad memilih untuk menganggur maka bilakan impian dan cita-cita beliau akan terlaksana? Disinilah letaknya akal dalam membuat pilihan.
Pekerjaan Kecil oleh Seorang yang Besar
Rasulullah s.a.w. memulakan karier baginda sejak berusia 7 tahun. Pada usia kanak-kanak yang sedang seronok bermain, Baginda telah menjadi seorang pengembala kambing. Baginda adalah seorang pesuruh Allah yang mulia. Dijaga dari dosa. Namun perjalanan Baginda menjadi seorang Rasulullah bukan sebuah perjalanan yang mudah.
Pekerjaan sebagai pengembala kambing, diikuti pula menjadi seorang peniaga telah mengajar baginda untuk sentiasa tawadhu, amanah dan rendah diri. Baginda tidak sombong meskipun datang dari keturunan yang besar, iaitu arab Quraish. Sifat tawadhu Baginda akhirnya menjadikan Baginda seorang pemimpin yang hebat, lembut hati dan mencintai umatnya.
Pekerjaan kecil yang lakukan telah mendisiplinkan Baginda dan akhirnya menjadikan Baginda pemimpin terulung yang tiada bandingnya hingga kini. Maka siapakah yang dapat menentukan sesebuah pekerjaan mampu menjamin kemuliaan seseorang?
Pengalaman itu Mendewasakan
Sahabat mahasiswa, bekerja tidak pernah merugikan. Asalkan ia halal dan bermanfaat. Bekerja akan memberi kita pengalaman yang berharga, juga membaiki akhlak kita agar lebih tawadhu.
Jangan sesekali kita memilih untuk ‘mengosongkan’ masa demi sesuatu yang tidak pasti. Bekerjalah walaupun bukan dalam bidang yang kita impikan sehingga suatu saat nanti kita mampu untuk mencapai impian kita.
Memilih untuk membiarkan masa kosong tidak berisi akan mengakibatkan ‘kebekuan’. Ibarat sungai yang tidak mengalir. Terkumpul di dalamnya kotoran dan akhirnya menimbulkan bau yang tidak menyenangkan.
Sepertimana ramai alim ulamak yang menasihatkan agar para remaja mengisi masa dengan perkara yang bermanfaat, maka seharusnya pasca graduan jangan sesekali kita biarkan masa terbuang begitu sahaja. Masa dan usia yang dibuang untuk perkara yang tidak bermanfaat akan melahirkan penyesalan seumur hidup.
Ambillah kesempatan untuk menceburi dan mendalami apa jua bidang. Anda akan merasakan nikmatnya memperolehi pengalaman, lebih besar daripada nikmat memperolehi uang gaji. Pengalaman mendewasakan, ia akan menjaga kita agar tidak tersalah langkah dikemudian hari. Sedangkan uang atau gaji akan habis jika tidak dilaburkan ke jalan yang bermanfaat. Semoga kita dipandu oleh Allah s.w.t. dalam membuat setiap keputusan penting dalam kehidupan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...