Friday, December 23, 2011

Ujian Itu


Ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk. Dahulu aku melihat orang lain sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Sakit, kehilangan harta benda, kehilangan orang tersayang. Itu tandanya Allah masih ingat akan kita. Dia mahu menguji hambanya supaya jika kita bersabar, insyaAllah kita kan mendapat ganjaran.

Dan aku tertanya, kenapa aku tidak pernah diuji dengan segala cabaran yang aku lihat terpaksa dipikul oleh orang lain? Lupakah Allah kepada aku?

Atau Allah sudah tidak sayang kepada aku?

Kemudian aku tersedar, yang ujian Allah itu juga boleh datang dalam bentuk kesenangan. Dan kadang-kadang kesenangan itu lebih berat ujiannya daripada kesusahan. Oh, aku sedang diuji waktu itu tanpa aku sedari.

Persoalannya, luluskah aku dengan ujian itu? Hanya Allah yang tahu.

Dan sekarang, mungkin Allah mahu aku merasa ujian yang aku pernah 'minta' dahulu. Ujian dalam bentuk kesusahan.
Susahnya kehidupan seorang pelajar.

Tidak pernah diduga oleh aku yang Allah akan menguji aku dalam bentuk ini. Kerana dahulu, soal pelajaran tidak pernah menjadi satu masalah.

Tetapi aku tahu. Allah tidak akan pernah menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak terdaya oleh kita. Persoalannya, mampukah aku lulus dengan ujian ini?

Setiap perkara yang berlaku, baik buruk mahupun baik, ada hikmahnya. Andai aku gagal dalam ujian ini, mungkin ada hikmahnya. Allah ada perancangan yang lebih baik untuk aku, lebih baik daripada perancangan manusia untuk aku.

Namun, aku hidup dengan manusia. Terarah dengan jangkaan, harapan dan sangkaan manusia. Sedar atau tidak, aku terpasa memenuhi semua tuntutan itu. Sehingga aku mungkin lupa yang kehendak Allah jauh melangkau segalanya.

Menghayati Susah Sesudah Senang



Sebahagian besar daripada kita asalnya datang daripada keluarga yang serba kekurangan. Sewaktu kecil, kita pernah merasa punyai hanya sepasang baju sekolah yang senteng kerana ayah tidak mampu membeli pakaian baru. Ataupun, kita menyarung baju yang gedoboh kerana ia asalnya pakaian sekolah abang yang diberi kepada kita.

Untuk berjimat, kita membawa bekal ke sekolah berupa lempeng atau cekodok sekadar mengalas perut. Walaupun diberi duit belanja, ianya cukup-cukup untuk membeli mi sepinggan dan segelas air sirap. Itu pun sudah cukup baik kerana ramai lagi kawan-kawan di waktu itu tidak membawa se sen pun ke sekolah. Mereka berlapar. Kalau haus, mereka menonggeng minum air paip sehingga kenyang. Tiada paip water cooler di sekolah pada zaman itu.

Di rumah, kita makan apa yang emak hidangkan. Kadang-kadang, makan malam kita adalah lauk tengahari. Ada juga masanya, makan malam kita adalah lauk dua tiga hari yang lepas, yang diperhangat sampai kering. Seisi keluarga akan makan hidangan yang sama. Bukan macam sekarang. Adakalanya, hanya si suami yang akan makan masakan isterinya, sedangkan anak-anak makan apa jua menu selain daripada masakan ibu.

Siapa yang tidak pernah merasai kemiskinan? Sama ada ketika di kampus ataupun di hari-hari terakhir bulan ketika hidup membujang, sebahagian daripada kita tentu sekali pernah mengalami situasi tidak berduit hendak makan. Keadaan itu cukup menyakit dan memalukan. Malu pada orang dan malu pada diri sendiri.

Sebab itu, kita berazam untuk mengubah cara hidup dengan belajar rajin-rajin hingga mendapat kerja baik, atau menjadi usahawan hingga hidup kita menjadi selesa, kaya dan akhirnya dihujani kemewahan yang melimpah ruah. Alhamdulilah. Kita yang asalnya susah dan 'makan untuk hidup' kini bertukar senang dan kini 'hidup untuk makan.' Betapa lama kelamaan, kesenangan yang berpanjangan itu menjadikan kita terlupa apa erti kemiskinan.

Kita yang mewah biasa melancong ke pelbagai tempat eksklusif atau bersantai bersama keluarga di kompleks membeli-belah. Di sana, kita lihat wajah-wajah yang riang gembira seperti kita. Kemewahan ada di mana-mana. Orang masih berbelanja walaupun ramai yang kata harga barang-barang sudah mahal.

Tetapi, kita tak akan terserempak dengan golongan yang sudah tidak mampu mengunjungi ke tempat-tempat rekreasi seperti kita. Mereka tiada di tempat-tempat ini. Mereka juga tidak kelihatan di gerai-gerai tepi jalan, di pasar-pasar tani, bahkan di pasar-pasar malam. Mereka hanya berada di tempat kerja. Selepas kerja, mereka akan berkurung di rumah. Pendek kata, mereka sudah berundur dari pentas dunia kerana lelah mengejar kesenangan. Mereka kalah dan terperosok di dalam dunia kemiskinan dan menyisih diri. Sebab itu kita sudah tidak temui mereka.

Apakah kebimbangan mereka yang miskin ini? Mereka bimbang bagaimana hendak memberi makan kepada isteri dan anak-anak, membayar sewa rumah, melangsaikan pelbagai jenis bil dan hutang piutang yang semakin bertambah. Hidup mereka kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Masa depan mereka hanyalah setakat esok hari. Mereka tidak berani berpandangan jauh kerana yang dekat pun sudah tidak terlarat hendak difikirkan, apatah lagi diimpikan.

Barangkali, dalam keadaan risau dan hampir putus harap akibat kemiskinan, maka terdetik di hati mereka mengapakah Allah menjadikan mereka sesusah dan semalang ini? Mengapa mereka tidak bernasib baik seperti orang lain yang cukup makan pakainya? Oleh kerana melihat masa depan yang kelam dan suram, mereka tergamak mempersoal Allah yang menjadikan mereka malang sebegitu. 

"Hampir-hampir kemiskinan itu membawa kepada kekufuran."



Meskipun hadis ini lemah, kemiskinan harta boleh membuatkan seseorang itu bimbang, risau dan putus asa. Kemiskinan harta boleh menjadikan seseorang itu juga miskin jiwanya hingga bertanya keadilan Allah yang mengatur segalanya.




Alangkah baik, dalam kemewahan kita pada hari ini, kita tidak lupa kepada mereka yang malang ini. Kita mesti menolong mereka. Apabila kita menghulurkan bantuan kepada mereka, tentulah mereka akan memanjatkan syukur kepada Allah. Mereka akan memuji-Nya kerana rintihan mereka didengari oleh Yang Maha Mendengar.


Jika sebelum ini, mereka mempersoalkan Allah kerana kemiskinan mereka, tidakkah bantuan yang kita sampaikan kepada mereka itu menjadikan mereka berterima kasih dan mengagungkan Allah kembali? Dalam erti kata yang lain, tidakkah bantuan kita menarik mereka dari jurang kekufuran untuk kembali meyakini-Nya?

Mari hayati zaman sukar kita dengan menyenangkan orang lain. Mari gembirakan hati kita dengan membahagiakan orang lain. 

"Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia menyelesaikan kesulitan orang lain."(Hadis riwayat: Imam Ahmad)...

Bila Rasa Lemah Menjelma



Senario A – Engkau semua jangan buat bising ok ! Aku tengah down ni, nanti aku campak semua barang-barang atas meja ni!

Senario B – Aduuuuh, sedihnya rasa ! Sampai hati dia menolak lamaranku. Aku  tengah down betul ni. Kau pergilah jauh-jauh sebab aku memang perlukan ketenangan sekarang ni.

Senario C – Tak mengapalah, ini urusan peribadi. Aku dah belajar macam nak mati tapi keputusan exam masih tak cukup makan. Biarlah aku menyendiri sebab aku tengah down ni.

Sememangnya rasa lemah atau rasa 'down' atau rasa 'futur' itu kadangkala menyapa diri. Setiap yang bernama insan pasti akan berhadapan dengan ujian di dalam hidupnya. Kadang-kala ujian dan diikuti dengan ujian yang datang bertimpa-timpa yang mungkin menyebabkan kita sukar untuk bangkit kembali.

Setelah ujian datang :
Ujian ini boleh membuatkan kita semakin kuat daripada sebelumnya. Kadang-kala kita boleh pintas bangkit semula ke kekuatan yang sama. Kadang-kala ujian ini boleh membuatkan kita rebah tersungkur. Kadang-kadang dengan satu ujian sahaja kita boleh hilang arah dan boleh membuat keputusan yang luar biasa

Andainya kita bangkit semula, maka syukur kepadaNya kerana kita berjaya melepasi ujian ini dan bakal menyaksikan bahawa kita akan menjadi insan yang lebih tabah dan lebih berjaya di masa depan.

Namun jika gagal bangkit, kita bakal melalui jalan buntu mahupun membuat laluan baru yang penuh berliku dan tidak mustahil ianya mungkin bertentangan dengan arus perjalanan yang pernah kita lalui sebelum ini.
Adakah sinar mentari di hari esok? Bagaimana kita akan menghadapinya?

Kita harus menghadapi setiap ujian yang ditempuhi dengan bersangka baik kepada Allah swt. Sudah pasti di sana ada hikmah dan kebaikan di dalam setiap perkara yang berlaku yang mungkin tidak kita ketahui maksudnya.

Firman Allah swt yang bermaksud :
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."  [Surah Al-Baqarah, 2: 216]

Seterusnya kita boleh menghadapi ujian ini dengan:
Beristighfar dan berdoa memohon pertolongan daripada Ilahi. Bermuhasabah diri, ujian ini mungkin juga disebabkan kesilapan atau dosa-dosa kita sendiri. Menyuarakan rasa hati kepada ke dua orang tua kita atau 'orang lama' atau tokoh yang kita kenali.

Berbincang dan meluahkan perasaan dengan pendidik atau 'murabbi' kita. Berkongsi permasalahan dengan teman atau kenalan yang rapat. Jangan ikutkan sangat perasaan down dan emosi diri. Menyebukkan diri dengan kegiatan dan aktiviti luar yang sihat.

Masih bersedih ?
Ambillah sedikit masa di sebelah keheningan malam untuk bertadabbur dengan ayat-ayat Allah swt sebelum tidur. Bersolat taubat dan menginsafi kesalahan diri. Masuk tidur lebih awal di dalam keadaan berwudhuk. Bangun di awal pagi untuk mendapatkan ketenangan bermunajat kepada Ilahi. Bersolat tahajjud sambil menyatakan rasa atau hasrat hati kepada Ilahi di dalam sujud yang terakhir dengan rasa penuh rendah diri dan berharap kepadaNya.



" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." ( Surah At-Talaq, 65: 2-3)

Masih adakah harapan untuk bangkit kembali?

Bukankah semua ujian ini datangnya dari Allah s.w.t? Ada kemungkinan besar bahawa Allah s.w.t menyimpan sesuatu yang lebih baik untuk kita yang tidak kita ketahui apa yang bakal berlaku selepas ini. Jadi, kepada siapakah lagi yang harus kita harapkan jika tidak dikembalikan kepadaNya kerana Dia adalah yang Maha Berkuasa dan Penyelesai kepada semua masalah serta ujian-ujian kehidupan.

Jom ! Mari kita bangkit agar terus jadi kuat....!

Bilakah Kali Terakhir Anda Menangis?



Tidak semua tangisan itu negatif dan tidak semua insan yang menangis itu lemah.
Bilakah tangisan ini membawa erti kekuatan dan kehebatan?
1. Menangis kerana rasa cinta dan takut kepada Allah
2. Menangis kerana menginsafi kelemahan diri dan ahli keluarga dan berusaha untuk memperbaikinya.
3. Menangis apabila melihat saudara seaqidah dizalimi dan berusaha untuk membantu.
4. Menangis apabila melihat tatasusila umat Islam yang telah melampau.
5. Menangis kerana berasa syukur dengan rahmat Allah yang terlalu banyak walaupun dirinya ditimpa bencana
6. Menangis kerana menyesali dosa dan menyedari kesilapannya
7. Menangis apabila dia menemui kebenaran setelah sekian lama hanyut di dalam kesesatan.
Tangisan-tangisan ini adalah kehebatan kerana orang yang menitiskan air matanya kerana Allah, adalah orang yang cukup tinggi rasa keimanan dan taqwanya seperti yang ditunjukkan melalui sabda Rasulullah yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a,

 "Tidak akan masuk neraka seorang laki-laki yang menangis kerana takut pada Allah Swt. sehingga air susu kembali masuk ke dalam puting..." (H.R Tirmidzi)


Pada satu ketika Rasulullah saw. berkhutbah di hadapan para sahabat, beliau bersabda," Seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui sungguh kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis." Kemudian para sahabat menutup wajah mereka dan mereka menangis. (Muttafaq 'Alaihi)
Pada suatu hari Rasulullah saw telah mendengar seorang sahabat Baginda yang sedang membaca al Quran. Apabila sampai ke ayat yang bermaksud:

"Maka apabila langit terbelah dan menjadi merah seperti kulit yang merah" Surah ar Rahman – 37


Bulu roma si pembaca itu berdiri tegak dan dia menangis tersedu-sedu sambil bertanya:"Aduh, apakah yang akan berlaku pada diriku apabila langit terbelah? Malang sungguh nasibku ini." Rasulullah saw berkata kepadanya:" Tangisanmu telah menyebabkan para malaikat menangis bersama-sama."
Jawapan yang sama telah diberikan oleh Rasulullah saw kepada seorang Ansar yang duduk menangis selepas menunaikan sembahyang Tahajjud.

Abdullah bin Rawahah telah menangis pada suatu hari. Isterinya melihat keadaannya turut menangis bersama-sama, dia bertanya kepada isterinya itu:"Mengapa kamu menangis?" Kata Abdullah:"Apabila aku teringat yang aku terpaksa menyeberangi neraka melalui titian sirat, aku menangis."Aku tidak tahu sama ada aku akan berjaya menyeberanginya atau tidak."

Subhanallah, kehebatan yang terserlah dengan linangan air mata yang membuktikan kekuatan seseorang insan.

Malah di antara tanda-tanda yang menunjukkan seseorang ini keras hatinya ialah apabila dia sukar untuk menangis di hadapan Ilahi.

Bilakah kali terakhir daku menitiskan air mata keranaMu ya Ilahi?


Aku Merindui Saat Itu..




Aku merindui saat itu
saat hati suci mengingatinya
saat diri kurang dilumuri dosa-dosa
saat lisan petah mengungkapkannya
saat bahu tegar menggalasnya

Aku merindui saat itu
meniti jalan halus menyusuri redhaNya
terumbang-ambing dek pukulan ombak dunia
kaca di mata menjadi dilema
antara suka mahupun duka

Aku merindui saat itu
berperang dengan realiti dan musuh nyata
acapkali mengimbas pesan ibunda
lantas bermonolog sendirian mengurai sengketa
demi ummah dan agama yang tercinta

Aku merindui saat itu
jatuh dan bangun kenangan dicipta
keluarga dan teman seiring setia
meskipun diulit ujian bertimpa
bumi itu menjadi saksi perjuangan kita

Aku merindui saat itu
mencicah kemanisan yang dibina
menuntut ihsan dikembalikan semula
menimbang antara dosa dan pahala
mendamba bulan untuk jatuh ke riba

Aku merindui saat itu
patuh dan taat pada Sang Pencipta
duduk akur mengalunkan kalamNya
bertemankan langit, kayu dan pelita
ke sana ke mari tunduk menyembah Yang Esa

Aku merindui saat itu
apakah kau mengerti maksud di sebalik kata
apakah kau memahami cuka di dada
apakah kau menduga adanya cinta
apakah kau mengetahui tika ini luruhnya air mata...

Maafkan aku Ya Allah
hambamu ini berlumuran dosa
menghitung hari nyawa disita
hanya Kau memahami isi hati hamba
dan orang-orang yang merindui saat itu jua..

Thursday, December 22, 2011

kekasih & teman sejati


                                         
        Aku pernah memikirkan, bahawa setiap manusia pasti ingin punya kekasih & teman sejati. Kekasih yang akan terus bersamanya, sehidup semati, dalam suka maupun duka. Kebersamaan yang tak terpisahkan. Namun sekarang aku memilih amal soleh sebagai kekasihku. Kerana ternyata hanya amal soleh yang terus mau menemaniku, sekalipun aku masuk ke dalam kuburku….

Aku pernah sangat kagum pada manusia cerdas, manusia yang kaya sekali, manusia yang berhasil dalam karir hidup dan hebat dunianya. Sekarang aku memilih mengganti kriteria kekagumanku, aku kagum dengan manusia yang hebat di mata Allah. Manusia yang sanggup taat dan bertaqwa kepada Allah sekalipun kadang penampilannya begitu bersahaja……

Dulu aku memilih marah karena merasa harga diriku dijatuhkan, ketika orang lain berlaku dzalim kepadaku atau menggunjingku, menyakitiku dengan kalimat-kalimat sindiran. Sekarang aku memilih bersyukur dan berterima kasih, karena ku yakin ada transfer pahala ketika aku mampu memaafkan dan bersabar….

Aku dulu memilih, mengejar dunia dan menumpuknya sebisaku..ternyata aku sadari kebutuhanku hanya makan dan minum untuk hari ini dan bagaimana cara membuangnya dari perutku. Sekarang aku memilih bersyukur dg apa yg ada…dan memilih bagaimana aku bisa mengisi waktuku hari ini, dengan penuh makna…

Aku dulu berfikir bahwa aku bisa membahagiakan orangtuaku, saudara dan teman-temanku nanti kalau aku berhasil dg duniaku…ternyata yang membuat kebanyakan mereka bahagia bukan itu..melainkan karena sikap, tingkah dan sapaku…. Aku memilih membuat mereka bahagia sekarang dengan apa yang ada padaku...

Dulu aku memilih untuk membuat rencana-rencana dahsyat untuk duniaku, ternyata aku menjumpai teman dan saudara -saudaraku begitu cepat menghadap kepada-Nya. Tak ada yang bisa menjamin aku besok bertemu matahari. Tak ada yang bisa memberikan garansi aku masih bisa menghirup nafas, dan membuka jendela esok pagi. Sekarang aku memilih memasukan dalam rencana-rencana besarku , yang paling utama adalah agar aku selalu siap menghadap kepada-Nya…

Ya Allah berilah selalu petunjuk ketika aku memilih…
Ya Allah berkahillah dan luruskanlah selalu langkah-langkahku…..

sumber
Kiriman dari seorang sahabat dengan revisi…fi amanillah wabaraktillah akhiii…

Saturday, December 10, 2011

Mengapa sukar untuk mencintaiNya?


   Mengapa begitu sukar mencintai Allah? Ya, benar. Memang sukar mencintai Allah.Walaupun kita tahu bahawa Dialah yang sewajarnya kita cintai. Budi-Nya, kasih-sayang-Nya, nikmat-Nya terlalu banyak untuk dimungkiri. Segala kebaikan Allah yang dilimpahkan-Nya ke atas kita melebihi kebaikan manusia. Sekalipun manusia itulah yang paling baik dengan kita.
Hatta kasih ibu yang sejati itupun hanya ‘sekelumit’ jika hendak dibandingkan dengan kasih Allah yang melangit. Ya, sekali lagi kita bertanya kepada hati kita… kenapa sukar benar mencintai-Nya? Walaupun fikiran kita mengiyakannya, iaitu lojik dan patut kita mencintai Allah. Tetapi hati kita masih berat, masih sukar merasainya.
Mengapa hati sedegil itu? Untuk mengetahui kenapa, mari kita bandingkan hati kita dengan fizikal kita. Dalam keadaan badan sihat, kita boleh makan dengan berselera sekali. Hadapkan ayam goreng, asam pedas, tomyam atau apa sahaja masakan yang enak-enak, tentu mulut kita dapat menikmatinya dengan lazat.
Tetapi apa kata kalau badan kita tiba-tiba jatuh sakit? Demam selsema menimpa. Tekak kita jadi pahit, selera kita jadi sempit. Ketika itu, hidangkanlah makanan selazat manapun, insya-Allah mulut kita akan menolaknya. Yang manis terasa pahit. Segala-galanya bertukar menjadi hambar, kelat dan meloyakan.
Kenapa jadi begitu? Apakah makanan itu yang berubah rasa atau mulut kita yang berubah selera? Tidak, makanan tetap sedap. Tetapi bila badan kita sakit, selera kita akan pahit. Begitulah hati kita apabila tidak mahu mencintai Allah. Bukan kerana cinta Allah itu tidak agung, tidak hebat, tidak indah tetapi hati kita yang sakit.
Hati yang sakit tidak akan dapat menikmati keindahan cinta Allah seperti badan yang sakit tidak dapat menikmati kelazatan makanan. Jika perbandingan ini dapat diterima, maka kita boleh mengukur tahap ‘kesihatan’ hati kita.
Rupa-rupanya dalam kehidupan ini ramai manusia (termasuk kita) yang ‘sakit’ hati. Bila kita tidak dapat merasai cinta Allah, sebaliknya lebih cinta selain Allah, maka itulah tandanya hati kita sedang menderita kesakitan. Malah ‘sakit’ hati ini lebih buruk akibatnya daripada sakit fizikal.
Jika sakit fizikal akan menyebabkan kita menderita di dunia, sakit hati akibat gagal mencintai Allah akan menyebabkan kita menderita di dunia dan menderita di akhirat. Jika sakit fizikal berakhir dengan kematian, tetapi ‘sakit’ hati akibat lebih parah. Kita akan menderita selama-lamanya di akhirat.
Mengapa hati kita sakit?
Hingga dengan itu hati tidak bergetar lagi dengan cinta Allah? Bukankah cinta Allah itu fitrah? Ertinya, cinta Allah itu adalah ‘makanan’ atau ‘penawar’ kepada hati manusia. Sebelum menjawabnya izinkan saya membawa satu analogi. Katalah, ada seorang anak yang sejak kecilnya lagi sudah dipisahkan daripada ibunya yang sejati. Oleh kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan, anak itu dipelihara oleh ibu angkat. Masa berlalu bertahun-tahun. Hinggalah anak itu mencapai usia dua puluhan.
Tiba-tiba, si anak mengetahui rahsia yang dia sebenarnya cuma anak angkat sahaja kepada ‘ibunya’ sekarang. Dia pun mencari ibunya yang sejati. Ibu yang telah mengandungkan dan melahirkannya. Maka di hari pertemuan bersejarah itu (masih ingat program Jejak Kasih?), sianak pun bertemu dengan ibu sejatinya ditemani oleh ibu angkatnya.
Saya ingin bertanya, dan anda boleh menjawabnya… pada ketika itu, siapakah yang lebih dikasihi oleh sianak? Ibu sejati yang telah terpisah sekian lama itukah atau ibu angkatnya yang telah memelihara selama ini?
Anda pasti setuju kalau saya katakan, hati sianak akan lebih mengasihi ibu angkat yang telah memeliharanya selama dua puluh tahun berbanding ibu sejati yang baru dikenalinya pada hari pertemuan itu. Walaupun pada lojik dan dari segi rasionalnya, ibu sejati perlu dikasihi berbanding ibu angkat, tetapi dari segi perasaan sianak tidaklah begitu. Sayang bukan paksaan. Sayang bukan pemikiran. Tetapi ia soal rasa. Ia datang dengan sendirinya. Kenapa sayang dan cinta sianak tak mahu bertandang walaupun dia patut merasa begitu?
Kenal Allah Dari Alam Roh
Maka begitulah halnya dengan hati kita. Sebenarnya, sejak di alam roh lagi kita sudah kenal Allah dan mengakui Dialah Tuhan kita. Firman Allah:

“Bukankah Aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab, ‘Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.”

Al-A’raf : 172
Di alam roh lagi kita telah mengenal Allah. Bahkan telah mengakuinya sebagai Rob (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan mencintai-Nya. Namun perlu diingat, mengenal dan mengetahui itu berbeza. Mengenal dengan hati, mengetahui dengan akal. Sebenarnya, hati kitalah yang telah mengenal Allah di alam arwah dahulu bukan akal kita. Tegasnya, cinta sejati sejak diri bermula ialah cinta Allah.
Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja mereka lahir ke dunia. Kita mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh ‘cinta angkat’. Kita telah terpisah dari Allah. Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak mengenalkannya kepada Allah.
Akibat Benih Cinta Allah Terbiar
Konsep didikan yang bertitik-tolakkan ‘Awaludin makrifatullah’ – awal agama mengenal Allah’ tidak diberikan. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi. Akibatnya, kita kenal ‘selain Allah’. Maka cinta kita pun beralih arah. Hakikat ini ditegaskan oleh sabda Nabi saw:
“Tiada seorang bayi pun yang lahir melainkan dia dilahirkan di atas fitrah. Lalu kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Majusi atau Nasrani, seperti haiwan itu melahirkan haiwan yang sama secara utuh. Adakah kamu menemukan adanya kecacatan?”
Riwayat Bukhari
Bermula dari situ perpisahan dengan cinta Allah pun bermula. Makin bertambah usia semakin jauh jarak perpisahan itu. Kekadang oleh corak pendidikan yang diterima. Begitu juga media massa yang didengar dan lihat. Apa lagu yang didengarnya? Apa filem yang ditontonnya? Cinta siapa yang lebih kerap dilihat dan didengarinya? Malang sekali, bukan cinta Allah tetapi cinta selain-Nya.
Puluhan tahun si anak dibuai oleh cinta makhluk seperti seorang anak yang dipelihara oleh ibu angkatnya. Hati, pemikiran, perasaan bahkan jiwa telah diserah seluruh dan sepenuhnya kepada ‘cinta angkat’ itu. ‘Cinta angkat’ itulah yang mendodoikannya sejak dia dalam kandungan ibu, di dalam buaian, di rumah, di sekolah, di dalam masyarakat dan di seluruh persekitarannya. Pancaindera kita sepenuhnya berinteraksi dan berkomunikasi dengan cinta itu sahaja. Dan pada ketika itu manusia yakin sepenuhnya bahawa ‘cinta angkat’ itulah cinta sejati kita.
Mencari Cinta Sejati
Ada orang yang bernasib baik, tiba-tiba arus kesedaran melanda. Cahaya ilmu menerpa dengan tiba-tiba. Lalu tersentaklah dia bahawa cinta itu bukan cinta yang sejati. Ada cinta yang lebih hakiki. Itulah cinta Allah. Dia mencari cinta itu, seperti anak angkat yang mencari ibunya yang sejati. Lalu dia menemuinya.
Menerusi pengajian, melalui pembacaan, menerusi lidah para daie, melalui tarbiah para ulama tahulah dia bahawa Allah-lah cinta yang sejati. Namun… semuanya masih di daerah ilmu, bukan di alam rasa. Dia tahu Allah wajib dicintai, tetapi hatinya tidak merasai. Aduh, malangnya… akal tahu, hati tak mahu!
Apa yang perlu dibuat bila hati telah sakit? Tidak ada lain, kita mesti mengubat dan merawatnya. Samalah seperti fizikal yang sakit, ia perlukan ubat dan rawatan. Oleh kerana fizikal kita berasal dari tanah, maka buatnya pun mesti berasal dari tanah. Feram, Natrium, Magnesiam dan lain-lain unsur semuanya dari tanah. Herba juga demikian.
Ubat sakit fizikal yang berasal dari tanah juga berasal dari tanah. Namun hati adalah soal rohani, ia bukan berasal dari tanah. Jadi ubat dan penawarnya bukan dari tanah. Tetapi ubat bagi hati ialah kembali kepada asalnya, yakni kembali dekat kepada Allah.
Hati yang dekat kepada Allah akan tenang dan sihat semula. Ia telah kembali kepada fitrahnya. Itulah ubat hati. Namun jalan ke situ bukan mudah. Ubat sakit fizikal selalunya pahit. Rawatan sakit fizikal juga perit. Tetapi oleh kerana inginkan badan yang sihat kita rela menelannya. Kita rela berpantang. Menahan daripada makan makanan yang berkolestrol, lemak, manis, masin, berminyak walaupun itu semua kesukaan kita. Kita ikut semua nasihat doktor. Berlari, bersenam dan mengawal stresss… kita ikuti, patuhi walaupun berat kerana inginkan sihat.
Pengubat Hati
Maka begitulah jalan untuk menyihatkan hati. Penawarnya pahit. Ubat jarang yang manis. Namun, semua itu perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati?
• Hadiri majlis ilmu iaitu ilmu yg memberi menfaat.

Mula-mula lazimilah menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah ‘taman syurga’ di dunia. Kata ulama, siapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama 40 hari (sesetengahnya mengatakan 7 hari) maka hati seseorang akan keras.

Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit. Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna. Nama-Nya yang baik dan mulia.
• Amal ilmu, dirikan solat.

Dari sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu imam, amal adalah makmumnya. Mulalah amalkan latihan-latihan asas dan teras untuk merawat hati. Ubat hati ialah zikrullah – ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang paling utama ialah mendirikan solat. Solat juga dikatakan berasal dari ‘silah’ (penghubung) antara hamba dengan Tuhan.

Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada segalanya itu ke dalam hati. Walau susah sungguh, tetapi paksalah diri.
Sedangkan bisa boleh jadi biasa apabila dilazimi, apatah lagi ‘penawar’ tentulah lebih mudah kita biasakan apabila dilazimkan. Ingat solat itu penawar. Walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti datang juga jika kita berterusan mengamalkannya.
Ingat selalu kata-kata, mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. No pain, no gain. Sedangkan merebut cinta makhluk pun susah, apalagi mencari cinta Allah. Tentulah lebih susah. Tidak ada jalan mudah, itulah jalannya… jalan mujahadah.
• Berpantang

Seperti sakit fizikal yang perlu pada pantang larangnya, begitu jugalah ‘sakit hati’ ada juga pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi makan ‘racun’. Apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat penyakit darah tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan?

Atau pesakit kencing manis yang rajin menyuntik insulin tetapi rajin juga minum teh tarik yang manisnya keterlaluan? Penyakit tidak akan sembuh, jika melanggar pantang. Bahkan, sesetengah pengamal perubatan menegaskan berpantang lebih baik daripada berubat.
Begitulah halnya dengan usaha penyembuhan ‘sakit hati’, ada pantang larang juga. Perlu ‘berpantang’ daripada perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu. Misalnya, melihat, mendengar atau terlibat secara langsung dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang nafsu, filem-filem lucah, dan lain-lain suasana yang boleh menyuburkan hawa nafsu. Sebaik-baiknya carilah kawan yang seiya sekata. Bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa – yakni sama-sama ingin mencari cinta Allah.
• Cari perkumpulan yang baik.
Untuk buat baik, perlu ada kumpulan. Untuk buat jahat, perlu ada ‘geng’. Bila ada perkumpulan (dulu dikampus sering dinamakan study group atau usrah), maka tentu ada program. Program yang baik boleh dibentuk sebagai alternatif kepada program yang negatif. Membaca dan mengkaji buku-buku agama, meningkatkan ilmu fardhu Ain, mendengar kuliah tafsir, mendengar nasyid-nasyid atau lagu-lagu yang baik, program riadah, sukan dan rehlah yang Islamik adalah program-program soleh yang boleh diatur oleh perkumpulan itu.
Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti dan akhirnya terbentuklah suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi. Ingat, musuh orang muda adalah ‘masa lapang’. Masa lapang ini perlu diisi dengan kesibukan belajar dan memperbaiki diri. Dengan adanya program-program ini pantang larang dalam usaha menyembuhkan hati yang sakit dapat dijaga. Ada kawan mengingatkan. Ada program yang menyibukkan. Ada suasana yang mencorakkan.
Inilah sebahagian langkah untuk mengubat ‘sakit hati’ di kalangan para orang muda masakini. Sebelum berpisah renungilah kata Imam Ghazali rhm:

“Pertama telah kupandang makhluk yang banyak ini. Maka aku saksikanlah bahawa, tiap-tiap mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat. Sebahagian daripada kekasih itu hanya mendampingi sampai ke sakit yang membawa maut dan sebahagian lagi hanya sampai ke tepi liang kubur.

Setelah itu kesemuanya pulang dan meninggalkan terbaring seorang diri. Tak seorang jua pun yang turut masuk ke kubur dan menghiburnya di dalamnya. Yang demikian tak kudapati selain amal yang soleh. Sebab itu maka kuambil ia menjadi kekasihku, supaya kelak ia menjadi pelita di dalam kuburku, menghiburkan dan tidak meninggalkan aku seorang diri.”
Oleh itu, takutlah kepada kemurkaan Allah. Carilah keredhaan Allah ketika di dunia lagi. Di akhirat nanti, bukan tempat untuk berbuat beramal. Alam akhirat ialah tempat kita diperlihatkan kebaikan mahupun kejahatan walau sebesar zarah pun.
Ya Allah, bantulah kami untuk ingat pada Mu, syukur pada Mu dan mengelokkan ibadah kami kepada MU! Bantulah mujahadah kami ya Allah…

Friday, December 9, 2011

KHAS UNTUK FAMILY..


Assalamulaikum


        Beberapa minit lagi akan bertarikhkan 10 NOVEMBER 2011 merupakan satu tarikh
yang sangat bermakna bagiku. Kerana tarikh itu merupakan tarikh keramat lahirlah seorang manusia yang sangat teristimewa bagiku. Seorang yang telah melahirkan ku dengan sepenuh  tenaga dan kasih sayang. Selamat Hari Lahir Ma!


Khas buat bonda tersayang...

Ingatlah,..

Sesungguhnya...

Anakmu sentiasa mendoakanmu...

Anakmu sentiasa menyayangimu...

Anakmu sentiasa merinduimu...

Bonda...

Doakan kejayaan anakmu...

Doakan kebahagiaan anakmu...

Kasihkanlah anakmu ini...

Jasa bonda

Engkau dibuai mimpi dia jaga,
engkau bersenang dia bekerja,
untukmu tiada terbatas,
memberi tak minta di balas,
ingin dibinanya untukmu,
kehidupan yang sempurna,
punya kekuatan jiwa,
punyai maruah,
leterannya dari rasa luhur,
menegur sebelum terlanjur,
itulah yang diwarisi,
pesan ibu terpahat di hati,
beringat-ingatlah berpesan pesan,
untuk kebaikan,
marah bukan kebencian tapi tanda sayang,
engkau semakin dewasa berjiwa merdeka,
sedang dia semakin tua membilang usia,
di saat kau berjaya dia tiada berdaya,
semoga kau tak lupa,
jasa bonda
...................
(x lupa juga kepada Abah)

"::::: Selamat Hari jadi Monther :::::"


 Happy Always..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...