Saturday, December 10, 2011

Mengapa sukar untuk mencintaiNya?


   Mengapa begitu sukar mencintai Allah? Ya, benar. Memang sukar mencintai Allah.Walaupun kita tahu bahawa Dialah yang sewajarnya kita cintai. Budi-Nya, kasih-sayang-Nya, nikmat-Nya terlalu banyak untuk dimungkiri. Segala kebaikan Allah yang dilimpahkan-Nya ke atas kita melebihi kebaikan manusia. Sekalipun manusia itulah yang paling baik dengan kita.
Hatta kasih ibu yang sejati itupun hanya ‘sekelumit’ jika hendak dibandingkan dengan kasih Allah yang melangit. Ya, sekali lagi kita bertanya kepada hati kita… kenapa sukar benar mencintai-Nya? Walaupun fikiran kita mengiyakannya, iaitu lojik dan patut kita mencintai Allah. Tetapi hati kita masih berat, masih sukar merasainya.
Mengapa hati sedegil itu? Untuk mengetahui kenapa, mari kita bandingkan hati kita dengan fizikal kita. Dalam keadaan badan sihat, kita boleh makan dengan berselera sekali. Hadapkan ayam goreng, asam pedas, tomyam atau apa sahaja masakan yang enak-enak, tentu mulut kita dapat menikmatinya dengan lazat.
Tetapi apa kata kalau badan kita tiba-tiba jatuh sakit? Demam selsema menimpa. Tekak kita jadi pahit, selera kita jadi sempit. Ketika itu, hidangkanlah makanan selazat manapun, insya-Allah mulut kita akan menolaknya. Yang manis terasa pahit. Segala-galanya bertukar menjadi hambar, kelat dan meloyakan.
Kenapa jadi begitu? Apakah makanan itu yang berubah rasa atau mulut kita yang berubah selera? Tidak, makanan tetap sedap. Tetapi bila badan kita sakit, selera kita akan pahit. Begitulah hati kita apabila tidak mahu mencintai Allah. Bukan kerana cinta Allah itu tidak agung, tidak hebat, tidak indah tetapi hati kita yang sakit.
Hati yang sakit tidak akan dapat menikmati keindahan cinta Allah seperti badan yang sakit tidak dapat menikmati kelazatan makanan. Jika perbandingan ini dapat diterima, maka kita boleh mengukur tahap ‘kesihatan’ hati kita.
Rupa-rupanya dalam kehidupan ini ramai manusia (termasuk kita) yang ‘sakit’ hati. Bila kita tidak dapat merasai cinta Allah, sebaliknya lebih cinta selain Allah, maka itulah tandanya hati kita sedang menderita kesakitan. Malah ‘sakit’ hati ini lebih buruk akibatnya daripada sakit fizikal.
Jika sakit fizikal akan menyebabkan kita menderita di dunia, sakit hati akibat gagal mencintai Allah akan menyebabkan kita menderita di dunia dan menderita di akhirat. Jika sakit fizikal berakhir dengan kematian, tetapi ‘sakit’ hati akibat lebih parah. Kita akan menderita selama-lamanya di akhirat.
Mengapa hati kita sakit?
Hingga dengan itu hati tidak bergetar lagi dengan cinta Allah? Bukankah cinta Allah itu fitrah? Ertinya, cinta Allah itu adalah ‘makanan’ atau ‘penawar’ kepada hati manusia. Sebelum menjawabnya izinkan saya membawa satu analogi. Katalah, ada seorang anak yang sejak kecilnya lagi sudah dipisahkan daripada ibunya yang sejati. Oleh kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan, anak itu dipelihara oleh ibu angkat. Masa berlalu bertahun-tahun. Hinggalah anak itu mencapai usia dua puluhan.
Tiba-tiba, si anak mengetahui rahsia yang dia sebenarnya cuma anak angkat sahaja kepada ‘ibunya’ sekarang. Dia pun mencari ibunya yang sejati. Ibu yang telah mengandungkan dan melahirkannya. Maka di hari pertemuan bersejarah itu (masih ingat program Jejak Kasih?), sianak pun bertemu dengan ibu sejatinya ditemani oleh ibu angkatnya.
Saya ingin bertanya, dan anda boleh menjawabnya… pada ketika itu, siapakah yang lebih dikasihi oleh sianak? Ibu sejati yang telah terpisah sekian lama itukah atau ibu angkatnya yang telah memelihara selama ini?
Anda pasti setuju kalau saya katakan, hati sianak akan lebih mengasihi ibu angkat yang telah memeliharanya selama dua puluh tahun berbanding ibu sejati yang baru dikenalinya pada hari pertemuan itu. Walaupun pada lojik dan dari segi rasionalnya, ibu sejati perlu dikasihi berbanding ibu angkat, tetapi dari segi perasaan sianak tidaklah begitu. Sayang bukan paksaan. Sayang bukan pemikiran. Tetapi ia soal rasa. Ia datang dengan sendirinya. Kenapa sayang dan cinta sianak tak mahu bertandang walaupun dia patut merasa begitu?
Kenal Allah Dari Alam Roh
Maka begitulah halnya dengan hati kita. Sebenarnya, sejak di alam roh lagi kita sudah kenal Allah dan mengakui Dialah Tuhan kita. Firman Allah:

“Bukankah Aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab, ‘Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.”

Al-A’raf : 172
Di alam roh lagi kita telah mengenal Allah. Bahkan telah mengakuinya sebagai Rob (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan mencintai-Nya. Namun perlu diingat, mengenal dan mengetahui itu berbeza. Mengenal dengan hati, mengetahui dengan akal. Sebenarnya, hati kitalah yang telah mengenal Allah di alam arwah dahulu bukan akal kita. Tegasnya, cinta sejati sejak diri bermula ialah cinta Allah.
Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja mereka lahir ke dunia. Kita mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh ‘cinta angkat’. Kita telah terpisah dari Allah. Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak mengenalkannya kepada Allah.
Akibat Benih Cinta Allah Terbiar
Konsep didikan yang bertitik-tolakkan ‘Awaludin makrifatullah’ – awal agama mengenal Allah’ tidak diberikan. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi. Akibatnya, kita kenal ‘selain Allah’. Maka cinta kita pun beralih arah. Hakikat ini ditegaskan oleh sabda Nabi saw:
“Tiada seorang bayi pun yang lahir melainkan dia dilahirkan di atas fitrah. Lalu kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Majusi atau Nasrani, seperti haiwan itu melahirkan haiwan yang sama secara utuh. Adakah kamu menemukan adanya kecacatan?”
Riwayat Bukhari
Bermula dari situ perpisahan dengan cinta Allah pun bermula. Makin bertambah usia semakin jauh jarak perpisahan itu. Kekadang oleh corak pendidikan yang diterima. Begitu juga media massa yang didengar dan lihat. Apa lagu yang didengarnya? Apa filem yang ditontonnya? Cinta siapa yang lebih kerap dilihat dan didengarinya? Malang sekali, bukan cinta Allah tetapi cinta selain-Nya.
Puluhan tahun si anak dibuai oleh cinta makhluk seperti seorang anak yang dipelihara oleh ibu angkatnya. Hati, pemikiran, perasaan bahkan jiwa telah diserah seluruh dan sepenuhnya kepada ‘cinta angkat’ itu. ‘Cinta angkat’ itulah yang mendodoikannya sejak dia dalam kandungan ibu, di dalam buaian, di rumah, di sekolah, di dalam masyarakat dan di seluruh persekitarannya. Pancaindera kita sepenuhnya berinteraksi dan berkomunikasi dengan cinta itu sahaja. Dan pada ketika itu manusia yakin sepenuhnya bahawa ‘cinta angkat’ itulah cinta sejati kita.
Mencari Cinta Sejati
Ada orang yang bernasib baik, tiba-tiba arus kesedaran melanda. Cahaya ilmu menerpa dengan tiba-tiba. Lalu tersentaklah dia bahawa cinta itu bukan cinta yang sejati. Ada cinta yang lebih hakiki. Itulah cinta Allah. Dia mencari cinta itu, seperti anak angkat yang mencari ibunya yang sejati. Lalu dia menemuinya.
Menerusi pengajian, melalui pembacaan, menerusi lidah para daie, melalui tarbiah para ulama tahulah dia bahawa Allah-lah cinta yang sejati. Namun… semuanya masih di daerah ilmu, bukan di alam rasa. Dia tahu Allah wajib dicintai, tetapi hatinya tidak merasai. Aduh, malangnya… akal tahu, hati tak mahu!
Apa yang perlu dibuat bila hati telah sakit? Tidak ada lain, kita mesti mengubat dan merawatnya. Samalah seperti fizikal yang sakit, ia perlukan ubat dan rawatan. Oleh kerana fizikal kita berasal dari tanah, maka buatnya pun mesti berasal dari tanah. Feram, Natrium, Magnesiam dan lain-lain unsur semuanya dari tanah. Herba juga demikian.
Ubat sakit fizikal yang berasal dari tanah juga berasal dari tanah. Namun hati adalah soal rohani, ia bukan berasal dari tanah. Jadi ubat dan penawarnya bukan dari tanah. Tetapi ubat bagi hati ialah kembali kepada asalnya, yakni kembali dekat kepada Allah.
Hati yang dekat kepada Allah akan tenang dan sihat semula. Ia telah kembali kepada fitrahnya. Itulah ubat hati. Namun jalan ke situ bukan mudah. Ubat sakit fizikal selalunya pahit. Rawatan sakit fizikal juga perit. Tetapi oleh kerana inginkan badan yang sihat kita rela menelannya. Kita rela berpantang. Menahan daripada makan makanan yang berkolestrol, lemak, manis, masin, berminyak walaupun itu semua kesukaan kita. Kita ikut semua nasihat doktor. Berlari, bersenam dan mengawal stresss… kita ikuti, patuhi walaupun berat kerana inginkan sihat.
Pengubat Hati
Maka begitulah jalan untuk menyihatkan hati. Penawarnya pahit. Ubat jarang yang manis. Namun, semua itu perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati?
• Hadiri majlis ilmu iaitu ilmu yg memberi menfaat.

Mula-mula lazimilah menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah ‘taman syurga’ di dunia. Kata ulama, siapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama 40 hari (sesetengahnya mengatakan 7 hari) maka hati seseorang akan keras.

Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit. Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna. Nama-Nya yang baik dan mulia.
• Amal ilmu, dirikan solat.

Dari sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu imam, amal adalah makmumnya. Mulalah amalkan latihan-latihan asas dan teras untuk merawat hati. Ubat hati ialah zikrullah – ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang paling utama ialah mendirikan solat. Solat juga dikatakan berasal dari ‘silah’ (penghubung) antara hamba dengan Tuhan.

Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada segalanya itu ke dalam hati. Walau susah sungguh, tetapi paksalah diri.
Sedangkan bisa boleh jadi biasa apabila dilazimi, apatah lagi ‘penawar’ tentulah lebih mudah kita biasakan apabila dilazimkan. Ingat solat itu penawar. Walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti datang juga jika kita berterusan mengamalkannya.
Ingat selalu kata-kata, mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. No pain, no gain. Sedangkan merebut cinta makhluk pun susah, apalagi mencari cinta Allah. Tentulah lebih susah. Tidak ada jalan mudah, itulah jalannya… jalan mujahadah.
• Berpantang

Seperti sakit fizikal yang perlu pada pantang larangnya, begitu jugalah ‘sakit hati’ ada juga pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi makan ‘racun’. Apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat penyakit darah tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan?

Atau pesakit kencing manis yang rajin menyuntik insulin tetapi rajin juga minum teh tarik yang manisnya keterlaluan? Penyakit tidak akan sembuh, jika melanggar pantang. Bahkan, sesetengah pengamal perubatan menegaskan berpantang lebih baik daripada berubat.
Begitulah halnya dengan usaha penyembuhan ‘sakit hati’, ada pantang larang juga. Perlu ‘berpantang’ daripada perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu. Misalnya, melihat, mendengar atau terlibat secara langsung dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang nafsu, filem-filem lucah, dan lain-lain suasana yang boleh menyuburkan hawa nafsu. Sebaik-baiknya carilah kawan yang seiya sekata. Bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa – yakni sama-sama ingin mencari cinta Allah.
• Cari perkumpulan yang baik.
Untuk buat baik, perlu ada kumpulan. Untuk buat jahat, perlu ada ‘geng’. Bila ada perkumpulan (dulu dikampus sering dinamakan study group atau usrah), maka tentu ada program. Program yang baik boleh dibentuk sebagai alternatif kepada program yang negatif. Membaca dan mengkaji buku-buku agama, meningkatkan ilmu fardhu Ain, mendengar kuliah tafsir, mendengar nasyid-nasyid atau lagu-lagu yang baik, program riadah, sukan dan rehlah yang Islamik adalah program-program soleh yang boleh diatur oleh perkumpulan itu.
Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti dan akhirnya terbentuklah suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi. Ingat, musuh orang muda adalah ‘masa lapang’. Masa lapang ini perlu diisi dengan kesibukan belajar dan memperbaiki diri. Dengan adanya program-program ini pantang larang dalam usaha menyembuhkan hati yang sakit dapat dijaga. Ada kawan mengingatkan. Ada program yang menyibukkan. Ada suasana yang mencorakkan.
Inilah sebahagian langkah untuk mengubat ‘sakit hati’ di kalangan para orang muda masakini. Sebelum berpisah renungilah kata Imam Ghazali rhm:

“Pertama telah kupandang makhluk yang banyak ini. Maka aku saksikanlah bahawa, tiap-tiap mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat. Sebahagian daripada kekasih itu hanya mendampingi sampai ke sakit yang membawa maut dan sebahagian lagi hanya sampai ke tepi liang kubur.

Setelah itu kesemuanya pulang dan meninggalkan terbaring seorang diri. Tak seorang jua pun yang turut masuk ke kubur dan menghiburnya di dalamnya. Yang demikian tak kudapati selain amal yang soleh. Sebab itu maka kuambil ia menjadi kekasihku, supaya kelak ia menjadi pelita di dalam kuburku, menghiburkan dan tidak meninggalkan aku seorang diri.”
Oleh itu, takutlah kepada kemurkaan Allah. Carilah keredhaan Allah ketika di dunia lagi. Di akhirat nanti, bukan tempat untuk berbuat beramal. Alam akhirat ialah tempat kita diperlihatkan kebaikan mahupun kejahatan walau sebesar zarah pun.
Ya Allah, bantulah kami untuk ingat pada Mu, syukur pada Mu dan mengelokkan ibadah kami kepada MU! Bantulah mujahadah kami ya Allah…

Friday, December 9, 2011

KHAS UNTUK FAMILY..


Assalamulaikum


        Beberapa minit lagi akan bertarikhkan 10 NOVEMBER 2011 merupakan satu tarikh
yang sangat bermakna bagiku. Kerana tarikh itu merupakan tarikh keramat lahirlah seorang manusia yang sangat teristimewa bagiku. Seorang yang telah melahirkan ku dengan sepenuh  tenaga dan kasih sayang. Selamat Hari Lahir Ma!


Khas buat bonda tersayang...

Ingatlah,..

Sesungguhnya...

Anakmu sentiasa mendoakanmu...

Anakmu sentiasa menyayangimu...

Anakmu sentiasa merinduimu...

Bonda...

Doakan kejayaan anakmu...

Doakan kebahagiaan anakmu...

Kasihkanlah anakmu ini...

Jasa bonda

Engkau dibuai mimpi dia jaga,
engkau bersenang dia bekerja,
untukmu tiada terbatas,
memberi tak minta di balas,
ingin dibinanya untukmu,
kehidupan yang sempurna,
punya kekuatan jiwa,
punyai maruah,
leterannya dari rasa luhur,
menegur sebelum terlanjur,
itulah yang diwarisi,
pesan ibu terpahat di hati,
beringat-ingatlah berpesan pesan,
untuk kebaikan,
marah bukan kebencian tapi tanda sayang,
engkau semakin dewasa berjiwa merdeka,
sedang dia semakin tua membilang usia,
di saat kau berjaya dia tiada berdaya,
semoga kau tak lupa,
jasa bonda
...................
(x lupa juga kepada Abah)

"::::: Selamat Hari jadi Monther :::::"


 Happy Always..

Saturday, June 25, 2011

Insan Itu, Sifat Itu...

Manusia ini punya pelbagai sifat dalam diri... Melihat setiap insan dan seterusnya belajar untuk memahami setiap perwatakan mereka merupakan satu pengalaman yang tidak mungkin mampu dijual beli... Mereka ini punya pelbagai mimpi indah dalam diri...

Seorang gadis yang aku kenali punyai satu sifat dalam diri di mana dia merupakan seorang gadis yang sangat tegas... Setiap perkara yang dilakukan mestilah berpaksi pada satu arahan sahaja... Tiada kompromi akan diberikan... Tiada pilihan lain.. Yang ada hanya satu pilihan... Suka atau tidak sesiapapun perlu mengikutinya dengan tabah hati... Insan ini punya satu sifat baik dalam diri.. Tetapi, terlalu bertegas tanpa cuba untuk memahami perasaan orang lain mampu menimbulkan konflik dalam diri insan lain... Konflik untuk terus menerus bertahan atau berterus - terang... Hendak berterus terang juga bukan satu perkara mudah... Takut jika insan ini berkecil hati...

Ada juga insan yang terlalu takut dirinya akan kalah dalam perjuangan... Cuba untuk bersaing dengan insan lain dan cuba untuk membuktikan dirinya paling hebat di antara mereka sedangkan hakikatnya insan ini merupakan salah seorang insan yang pintar... Akan tetapi, dalam pintar itu, dia tetap punya kelemahan dalam diri... Takut untuk kalah tidak akan sesekali mengajar seseorang itu menjadi insan yang lebih baik... Insan hebat adalah insan yang menerima setiap kekalahan dan cuba untuk memperbaikinya... Manusia perlu belajar dari kegagalan masa lalu...

Aku juga mengenali seorang insan yang cuba melarikan diri dari sebarang persoalan... Insan ini lebih gemar mempertahankan egonya... Tidak pernah sesekali ingin merendahkan ego dalam diri... Yang tinggal hanya satu keadaan di mana melarikan diri itu lebih baik bagi dirinya... Insan ini menghukum seseorang tanpa seseorang itu ketahui sebab dan alasannya... Mungkin baginya hukuman itu merupakan hukuman yang terbaik sedangkan hakikatnya perbincangan perlu dilakukan bagi menyelesaikan setiap persoalan yang muncul dalam diri...

Tidak lupa juga, aku kenali seorang insan yang tegar melukakan dirinya sendiri demi melihat insan lain bahagia... Insan ini terluka dalam diri tetapi masih terus - terusan cuba untuk membahagiakan insan lain... Aku punya rasa kagum untuk sebahagian sifat insan seperti ini... Akan tetapi, aku juga kasihan dengan insan ini... Insan ini aku doakan agar dirinya bertemu kebahagiaan hakiki suatu saat nanti...


Seterusnya, aku juga mengenali seorang insan yang seringkali cuba untuk meningkatkan keyakinan dan semangat insan lain... Orangnya tenang dan sangat peramah... Mudah untuk didekati dan seringkali sudi mendengar setiap luahan hati... Satu demi satu nasihat diberikan menjadikan diri sangat bahagia mengenalinya... Insan seperti ini merupakan seorang insan yang paling aku hargai...

Ini sebahagian dari insan - insan yang pernah aku temui... Masih banyak lagi insan lain di luar sana yang punya seribu satu ragam berlainan... Walau siapapun mereka, aku gembira kerana aku mampu mempelajari sesuatu melaluinya... Mereka inilah yang sentiasa hadir untuk aku memiliki satu lagi memori indah dalam kehidupanku... Semoga insan - insan ini mampu mencari mimpi sebenar dalam diri... Carilah ia walaupun seribu tahun masa yang perlu diambil untuk mendapatkannya.. Percayalah ia pasti satu langkah yang akan kamu kenangi satu saatnya nanti...

Monday, June 20, 2011

Hati Seorang Ayah

Suatu ketika, ada seorang anak perempuan yang bertanya kepada ayahnya dikala melihat ayahnya mengusap wajahnya yang mulai berkerut dengan badannya yang terbongkok-bongkok, disertai suara batuk-batuknya.
Anak perempuan itu bertanya pada ayahnya: "Ayah, mengapa wajah ayah kian berkerut-merut dengan badan ayah yang kian hari kian membongkok?"
Demikian pertanyaannya, ketika ayahnya sedang berehat di beranda.
Si ayah menjawab: "Sebab ayah seorang lelaki."
Anak perempuan itu berkata sendirian: "Saya tidak mengerti." disulami dengan kerutan di kening kerana jawapan ayahnya membuatnya dirinya kebingungan.
Ayah hanya tersenyum. Dibelainya rambut anaknya itu lalu menepuk-nepuk bahunya, kemudian si ayah mengatakan: "Anakku, kamu memang belum mengerti tentang lelaki."
Demikian bisik si ayah, menambahkan kebingungan di hati si anak.
Kerana perasaan ingin tahu, kemudian si anak mendapatkan ibunya lalu bertanya kepada ibunya, "Ibu, mengapa wajah Ayah jadi berkerut dan badannya kian hari kian membongkok? Dan sepertinya ayah menjadi demikian tanpa ada keluhan dan rasa sakit?"
Lantas Ibunya menjawab: "Anakku, jika seorang lelaki yang benar-benar bertanggungjawab terhadap keluarga memang akan kelihatan demikian."
Hanya itu jawapan si ibu. Si anak itupun kemudian membesar dan menjadi dewasa, tetapi dia tetap juga masih tercari-cari jawapan, mengapa wajah ayahnya yang tampan menjadi berkerut-merut dan badannya kian membongkok?
Sehinggalah pada suatu malam, dia bermimpi. Di dalam mimpi itu seolah-olah dia mendengar suara yang sangat lembut, namun jelas sekali.
Dan kata-kata yang terdengar dengan jelas itu ternyata suatu rangkaian kalimah sebagai jawapan rasa kebingungannya selama ini.
"Saat Ku-ciptakan lelaki, aku membuatnya sebagai pemimpin keluarga serta sebagai tiang penyangga dari bangunan keluarga, dia senantiasa akan berusaha untuk menahan setiap hujungnya, agar keluarganya merasa aman, teduh dan terlindung."
"Ku ciptakan bahunya yang kuat dan berotot untuk membanting-tulang menghidupi seluruh keluarganya dan kegagahannya harus cukup kuat pula untuk melindungi seluruh keluarganya."
"Ku berikan kemahuan padanya agar selalu berusaha mencari sesuap nasi yang berasal dari titisan keringatnya sendiri yang halal dan bersih, agar keluarganya tidak terlantar, walaupun seringkali dia mendapat cercaan dari anak-anaknya".
"Ku berikan keperkasaan dan mental baja yang akan membuat dirinya pantang menyerah, demi keluarganya dia merelakan kulitnya tersengat panasnya matahari, demi keluarganya dia merelakan badannya berbasah kuyup kedinginan dan kesejukan kerana tersiram hujan dan dihembus angin, dia relakan tenaga perkasanya dicurahkan demi keluarganya, dan yang selalu dia ingat, adalah disaat semua orang menanti kedatangannya dengan mengharapkan hasil dari jerih-payahnya."
"Kuberikan kesabaran, ketekunan serta kesungguhan yang akan membuat dirinya selalu berusaha merawat dan membimbing keluarganya tanpa adanya keluh kesah, walaupun disetiap perjalanan hidupnya keletihan dan kesakitan kerapkali menyerangnya."
"Ku berikan perasaan cekal dan gigih untuk berusaha berjuang demi mencintai dan mengasihi keluarganya, didalam suasana dan situasi apapun juga, walaupun tidaklah jarang anak-anaknya melukai perasaannya, melukai hatinya.Padahal perasaannya itu pula yang telah memberikan perlindungan rasa aman pada saat di mana anak-anaknya tertidur lelap. Serta sentuhan perasaannya itulah yang memberikan kenyamanan bila saat dia sedang menepuk-nepuk bahu anak-anaknya agar selalu saling menyayangi dan saling mengasihi sesama saudara."
"Ku berikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk memberikan pengertian dan kesedaran terhadap anak-anaknya tentang saat kini dan saat mendatang, walaupun seringkali ditentang bahkan dikotak-katikkan oleh anak-anaknya."
"Ku berikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk memberikan pengetahuan dan menyedarkan, bahawa isteri yang baik adalah isteri yang setia terhadap suaminya, isteri yang baik adalah isteri yang senantiasa menemani, dan bersama-sama menghadapi perjalanan hidup baik suka mahupun duka,walaupun seringkali kebijaksanaannya itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada isteri, agar tetap berdiri, bertahan, sepadan dan saling melengkapi serta saling menyayangi."
"Ku berikan kerutan diwajahnya agar menjadi bukti, bahawa lelaki itu senantiasa berusaha sekuat daya fikirnya untuk mencari dan menemukan cara agar keluarganya dapat hidup didalam keluarga bahagia dan badannya yang terbongkok agar dapat membuktikan, bahawa sebagai lelaki yang bertanggungjawab terhadap seluruh keluarganya, senantiasa berusaha mencurahkan sekuat tenaga serta segenap perasaannya, kekuatannya, kesungguhannya demi kelanjutan hidup keluarganya."
"Ku berikan kepada lelaki tanggungjawab penuh sebagai pemimpin keluarga, sebagai tiang penyangga (seri/penyokong), agar dapat dipergunakan dengan sebaik-baiknya. Dan hanya inilah kelebihan yang dimiliki oleh lelaki, walaupun sebenarnya tanggungjawab ini adalah amanah di dunia dan akhirat."
Terkejut si anak dari tidurnya dan segera dia berlari, berlutut dan berdoa hingga menjelang subuh.
Setelah itu dia hampiri bilik ayahnya yang sedang berdoa, ketika ayahnya berdiri si anak itu menggenggam dan mencium telapak tangan ayahnya.
"Aku mendengar dan merasakan bebanmu, ayah."


                                               
                                                                 SELAMAT HARI AYAH


Friday, June 10, 2011

Sahabat


Mempunyai satu sahabat sejati lebih berharga dari seribu teman yang mementingkan diri sendiri.

Apa yang kita alami demi teman kadang-kadang melemaskan dan menjengkelkan, tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah.

Persahabatan sering mendatangkan beberapa ujian, tetapi persahabatan sejati boleh mengatasi ujian itu bahkan bertambah erat bersama kerananya…

Persahabatan tidak terjalin secara automatik tetapi memerlukankan proses yang panjang seperti besi menajamkan besi, demikianlah sahabat menajamkan sahabatnya..

Persahabatan diwarnai dengan berbagai pengalaman suka dan duka, dihibur – disakiti, diperhatikan – dikecewakan, didengar – diabaikan, dibantu – ditolak, namun semua ini tidak pernah sengaja dilakukan dengan tujuan kebencian..

Seorang sahabat tidak akan menyembunyikan kesalahan untuk menghindari perselisihan, justru kerana kasihnya dia memberanikan diri menegur apa adanya.

Sahabat tidak pernah membungkus pukulan dengan ciuman, tetapi menyatakan apa yang amat menyakitkan dengan tujuan sahabatnya mahu berubah.

Proses dari teman menjadi sahabat memerlukankan usaha pemeliharaan dari kesetiaan, tetapi bukan pada saat kita memerlukan bantuan barulah kita memiliki motivasi mencari perhatian, pertolongan dan pernyataaan kasih dari orang lain, tetapi justru dia berinisiatif memberikan dan mewujudkan apa yang diperlukan oleh sahabatnya.

Kerinduannya adalah menjadi bahagian dari kehidupan sahabatnya, kerana tidak ada persahabatan yang diawali dengan sikap ego.

Semua orang pasti memerlukankan sahabat sejati, namun tidak semua orang berhasil mendapatkannya. Banyak pula orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur kerana dikhianati sahabatnya.
Ingatlah bila terakhir kali kamu berada dalam kesulitan. Siapa yang berada di samping kamu ???
Siapa yang mengasihi kamu saat kamu merasa tidak dicintai ??
Siapa yang ingin bersama kamu saat kamu tak boleh memberikan apa-apa ??
Siapa yang ingin bersama kamu, siapapun kamu, bagaimanapun kamu??

Wednesday, June 8, 2011

Keep on Smiling ;)


Bismillah wal Hamdulillah.

Atas izinNya, blog ini diberi kesempatan untuk diupdate, dan moga-moga 'bernyawa' hingga ke akhirnya.

Hari ini saya belajar sesuatu.

Belajar senyum pada sesuatu yang tidak kita inginkan ia berlaku.

Meskipun, kita menjangkakan ianya mungkin berlaku, lantas ianya terjadi, kebiasaannya kita pasti akan terduduk, merenungi dan menangisi hal itu.

Namun, kadang-kala kita perlu belajar. Belajar bagaimana menerima sesuatu dengan hati yang terbuka. Fikir dengan fikiran yang positif. Redha pada ketentuanNya.

Barangkali Allah tidak mengurniakannya serta-merta, kerana Allah telah menyediakan ia buat kita pada suatu masa yang tidak kita ketahui.



      anak-anak kecil, fikirannya jernih, hatinya bersih, tiada dosa dan noda~

Yakinlah dengan janji Allah. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kita.

Smile, can make hearts calm and resolve problems.

^_^

"Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (ketika menghadapi kesusahan dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat, kerana sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar." 
(Surah Al-Baqarah, 2 : 153)


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...