Thursday, February 17, 2011

Himpunan Tazkirah..

Dosa Berkuku Panjang

Dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku yang panjang, dosanya sama seperti memelihara sekandang
babi, jika kesemua jejari kita menyimpan kuku yang panjag.... bayangkanlah dosa yang telah kita tanggung
untuk kesemua babi-babi tersebut.... potonglah kuku anda.

The Truth

Jangan simpan kuku panjang walaupun hanya 1 mm atau pun hanya jari kelingking.

Bagi orang Islam adalah tidak sesuai berkuku panjang atas apa alasan sekalipun kerana ia tidak membayangkan
kesucian dan ia juga bukan budaya kita apatah lagi menggunakan tangan untuk beristinjak.

Orang Melayu yang berkuku panjang biasanya mempunyai anak yang bodoh atau pun degil dan suka melepak
sebab diberi makan bahan kotor yang berada di kuku jari emaknya semasa menyediakan makanan seperti
memerah santan kelapa, buat cokodok pisang, uli tepong, dll. Apa ilmu pun yang di ajar pun tak akan boleh
diterima masuk ke dalam kepala. Percayalah.

Pasal tabiat berkuku panjang inilah yang membuatkan orang Melayu mundur dan tidak berjaya. Syarikat Melayu
yang bangkrap dan rugi teruk adalah kerana mempunyai pekerja dan pemilik yang berkuku panjang.

Untuk yang bujang beringatlah. Kalau hendak cari pasangan dan hendak anak yang pandai dan mendengar kata
pilihlah wanita atau lelaki yang sentiasa berkuku pendek. Insya-Allah.

MENGHORMATI AZAN

Lidah kelu di saat kematian. Kematian pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita
amati.... mengapa kebanyakan orang yang nazak (hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa, lidahnya kelu, keras dan
hanya mimik mukanya menahan kesakitan sakaratul maut.

Diriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud :
"Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya."

Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apapun semasa azan berkumandang.
Sebagai orang Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri
tegak dan diamkan diri.... mengapa azan kita tidak boleh mendiamkan diri....!!! Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika
azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba.... maka
kita tidak dapat mengucapkan kalimah lailahaillallah... yang mana sesiapa yg dapat mengucapkan kalimah ini ketika
nyawanya dicabut...Allah menjanjikan syurga untuknya.

Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu walaupun
nyawa sedang dicabut. "Ya...Allah, anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan
lidah kami mengucap kalimah Laillahaillallah......semasa sakaratul maut menghampiri kami...."

Tuesday, February 15, 2011

Pelangi Selepas Hujan


Seringkali hati kecil mengadu sakit, seringkali jiwa meratap hiba. Dugaan dan ujian yang bertimpa-timpa, kadangkala menewaskan semangat yang ada.
Kadangkala kita berasa sendirian dan terasa betapa kita dipinggirkan. Ketika kita menyangka sudah tidak ada lagi yang bernilai dalam kehidupan dan yang kita lihat hanyalah jalan suram di hadapan.
Lantas kita marah kepada Tuhan, kita kecewa dengan ketentuan yang diciptakan. Kita menyalahkan takdir hitam dan saat itu sendu airmata mengaburkan kewarasan.
Lalu kita hilang pertimbangan, di antara keimanan dan rasukan syaitan. Kita hanya nampak jalan mudah untuk melepaskan diri, lalu ada yang seringkali memilih kematian sebagai penyelesaian.
Pernahkah sekali kita memahami alam?
Mengapa Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan?
Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kering-kontang? 
Hanya daripada benih hitam yang kusam, apabila disirami hujan lantas berbunga cantik. Maka tersenyumlah alam. Betapa indahnya aturan Tuhan.
Mengapa tidak ada hujan berpanjangan atau sinar mentari yang menyinari alam?
Mengapa harus ada putaran alam seperti hitam malam dihiasi bintang?
Mengapa untuk tidak ada sekaligus dalam satu masa?
Mengapa harus hilang sesuatu untuk sesuatu?
Jawabnya senang.

Kerana tidak ada kemanisan tanpa ada kepahitan, dugaan dan rintangan. Mengecapi kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Setiap kesenangan akan ada bayaran. Contohnya Tuhan hadirkan pelangi yang indah dan kicau burung yang menyanyikan kedamaian selepas hujan. 
Biar hujan di dalam hati, pasti ada pelangi yang menanti. InsyaAllah.

Selawat Junjungan

Ya Nabi salamunalaik
Ya Rasululllah salamunalaik
Ya Habib salamunalaik
Solawatullahi alaik

Di mulakan dengan selawat
Ke atas Nabi syafiul ummat
Moga diberkati hidupku
Selamat di dunia dan Akhirat

Pergi mu tiada pengganti
Hilanglah seri buana ini
Kaulah penyeri kaulah purnama
Yang menerangi hidup manusia

Lahirmu dijanjikan Allah
Membawa rahmat sekalian alam
Membina ummat bertamadun
Kaulah Nabi kekasih Allah

Walau ujian melanda
Kau sabar menghadapinya
Kau contoh sebaik ummat

Tauladan sepanjang zaman
Walau kau tiada lagi
Kau tetap di sanubari
Jasamu terlalu agung
Namamu tetap di hati.

Monday, February 14, 2011

Sejarah Sambutan Maulidur Rasul s.a.w.

Salam Selasa & Salam Maulidur Rasul kepada rakan-rakan semua. Semestinya ramai yang bercuti hari ini bersempena dengan Hari Memperingati Kelahiran Nabi Muhammad saw. Saya harap agar anda semua dapat menikmati cuti dengan aktiviti yang berfaedah.
Seperti yang kita sedia maklum, tiap-tiap tahun kita memang tak pernah lupa untuk meraikan hari kelahiran junjungan besar nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan perarakan, ceramah agama, bacaan selawat dsb. Tapi tahukah kita akan sejarah bermulanya sambutan Maulidur Rasul ini.
Untuk entri kali ini, saya akan cuba berkongsi sedikit maklumat mengenai tajuk di atas secara ringkas.
SEJARAH MAULIDUR RASUL:
Perayaan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh Kerajaan Fatimiah di Mesir. Kerajaan Fatimiah telah merayakan perayaan ini secara besar-besaran. Bukan hanya hari jadi Rasulullah s.a.w, tetapi juga ahli keluarga Nabi s.a.w seperti Zainab, Hassan, Hussein (r.a) juga dirayakan.
Walaubagaimanapun, perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 atas perintah Perdana Menteri, Al-Afdal Shahindah pada ketika itu yang berpegang kuat pada sunnah seperti yang tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer. Masyarakat berhenti merayakannya sehingga Al-Ma’moon Al-Bataa’ni memegang kuasa kerajaan ketika itu. Beliau telah memulakan kembali perayaan yang telah dihentikan sebelum itu.
Perayaan diadakan pada 8 Rabiulawal dan kadang-kadang pada 12 Rabiulawal. Sambutannya diisi dengan pelbagai acara antaranya membaca sejarah Nabi s.a.w sehinggalah kepada menghias binatang ternakan untuk disembelih kemudian dijadikan jamuan besar-besaran.
HUKUM MAULIDUR RASUL:
Seperti yang telah kita maklum, perayaan Maulidur Rasul ini merupakan satu perayaan yang kontroversi. Para ulama’ berbeza pendapat akan kebolehan perayaan ini. Ada yang membolehkan dan sebaliknya. Kita sebagai masyarakat awam tersepit antara dua pendapat. Yang mana kita harus turuti. Sedangkan kedua-dua belah pihak terdiri daripada ulama-ulama yang hebat dan tidak boleh ditolak lagi akan kewibawaan mereka.
HUJAH YANG MEMBOLEHKAN MAULIDUR RASUL:
Salah seorang ulama yang membolehkan perayaan Maulidur Rasul ini ialah Syeikh Yusuf Qardawi. Antara ringkasan kata-kata beliau:
Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah s.a.w. Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah s.a.w. dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah s.a.w. itu kekal di dalam hati dan ingatan.
Walaubagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya. Dengan itu, perayaan Mauildur Rasul ini diadakan bertujuan untuk mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah masih hidup. Tetapi malangnya, Maulidur Rasul ini telah bercampur dengan amalan bid’ah yang ditentang oleh Islam.
Maka dibolehkan meraikan Maulidur Rasul ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bid’ah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam.”
Berikut adalah antara dalil-dalil yang menjadi hujah membolehkan Maulid ini:
1) Allah berfirman:
Maka orang-orang yang berfirman kepadanya (Muhammad s.a.w.) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Surah Al-Araf: Ayat 57)
Keterangan:
Tujuan maulid diadakan adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad s.a.w. Maka perayaan maulid masuk dalam umum ayat tersebut.
2. Firman Allah:
Dan ingatlah mereka dengan hari-hari Allah. (Surah Ibrahim: Ayat 5)
Keterangan:
Al-Baihaqi di dalam “Syakbu Al-Iman” daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi s.a.w., sesungguhnya baginda menafsirkan “hari-hari Allah” ialah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh Al-Ma’ani menjelaskan lagi dengan katanya “kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. merupakan nikmat yang paling besar”.

Thursday, February 10, 2011

Sunnah Itu Hikmah


Maulidur Rasul merupakan detik yang amat istimewa. Lantaran itu, ada-ada sahaja aturcara yang susun oleh masyarakat Islam demi meraikannya. Namun, sekadar menyambutnya begitu sahaja tanpa pengisian yang sewajarnya,  tidak ubah seperti sebiji gelas kristal yang indah, tetapi kosong tanpa isi – amat merugikan! Dan ia pasti menjadi lebih sia-sia apabila Muslim sendiri tidak mendaulatkan sunnah peninggalan baginda Rasulullah SAW.

Allah SWT telah berfirman dalam kitab-Nya: "Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasul-Nya, dan orang-orang yang memegang kekuasaan antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka hendaklah kamu kembalikan kepada Allah  dan rasul,  jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih baik dan sebaik-baik jalan." (An Nissak:59)

 "Kembalikan kepada Allah dan Rasul" yang dinyatakan oleh-Nya dalam ayat tersebut jelas merujuk kepada al-Quran dan sunnah. Justeru , tidak dapat tidak, manusia tidak hanya perlu bergantung kepada kitab Allah, tetapi juga sunnah Rasulullah yang mempunyai pengaruh amat besar dalam perluasan pembinaan hukum Islam.

 As sunnah mempunyai pelbagai pengertian yang dilihat berdasarkan kaca mata banyak pihak. Walau bagaimanapun, setiap definisi yang diberikan kelihatan tidak banyak bezanya antara satu sama lain.

 Dalam buku berjudul Pedoman Muslim terjemahan daripada Minhaajush Shaalihin, ahli hadis melihat sunnah sebagai sesuatu peninggalan Rasulullah sama ada dalam bentuk perkataan, ketetapan mahupun sifat-sifat jasmani atau budi pekerti serta sejarah hidup – sebelum dan sesudah kenabian baginda diangkat Allah.

 Sementara bagi ahli usul, as sunnah merupakan sesuatu yg dinukilkan daripada Nabi Muhammad. Ini boleh jadi membabitkan perkataan, perbuatan mahupun ketetapan. Contoh yang melibatkan perkataan ialah sesuatu yang disabdakan oleh baginda dalam pelbagai bentuk yang berhubung dengan pembinaan hukum. Perbuatan pula adalah seperti perlakuan Rasulullah dalam urusan ibadah seperti solat.

 Menurut istilah fikah, as sunnah merupakan sesuatu yang tetap (sah) daripada baginda. Ia bukan fardu dan tidak wajib. Menurut sebahagian daripada ahli fukaha, sunnah adalah mutlak atas sesuatu yang berlawanan dengan bidaah.

Sahih, Hasan & Daif

Sebagai hamba Allah, al-Quran wajib dijadikan panduan hidup. Begitulah juga keadaannya dengan sunnah. Abu Abdillah Hakim mentakhrijkan daripada Ibnu Abbas, bahawasanya Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya syaitan telah putus asa untuk menjadi sembahan di bumimu, tetapi ia senang untuk ditaati selain disembah daripada perbuatan-perbuatanmu yang merendahkan kamu, maka berhati-hatilah. Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepadamu selama kamu bepegangan dengannya maka kamu tidak akan sesat selamanya iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah nabi-Nya."

 Hadis merupakan sunnah Rasulullah. Dalam Islam, ia termasuk dalam dalil bagi menentukan hukum serta peraturan agama selain al-Quran. Ia terbahagi kepada dua bahagian. Yang pertama berperanan penting dalam menjelaskan maksud al-Quran. Sementara yang kedua pula menghuraikan hukum-hukum yang tidak dinyatakan oleh Allah dalam kitab-Nya.

 Ini sesuai dengan dua firman Allah dalam surah An Nahl ayat 44 yang bermaksud: "Kami turunkan kepadamu (Muhammad) akan Quran supaya engkau jelaskan kepada manusia apa yang diturunkan (Quran) kepada mereka."  dan surah An Nissa' ayat 59 yang bermaksud: "Hai orang beriman! Ikut olehmu akan perintah Allah dan ikut olehmu akan perintah rasul."

 Walau bagaimanapun, agak menyedihkan apabila tidak semua semua daripada sunnah baginda dilaksanakan dalam kehidupan kita. Dan tambah menyayat hati apabila wujud segelintir pihak yang memesongkan sunnah Rasulullah dengan memutar belitkan hadis.

 Terdapat beberapa peringkat hadis iaitu sahih, hasan dan daif. Hadis sahih merupakan hadis yang sanadnya bersambung dengan riwayat orang adil yang memiliki ingatan kuat (dhabith). Selain itu, hadis tersebut turut selamat daripada unsur-unsur penyimpangan dan illat (penyakit). Hadis sahih tidak terkumpul secara mutlak dalam satu kitab hadis.

 Bagi hadis hasan pula, perawinya ringan iaitu tidak kukuh hafalannya berbanding hafalan orang yang dhabith. Sementara hadis daif adalah hadis yang tidak melengkapi syarat-syarat hadis sahih dan hasan. Terdapat tiga jenis hadis daif iaitu daif (lemah), amat daif (sangat lemah) dan hadis maudhu' (palsu).

Keistimewaan Sunnah

Sunnah Rasulullah amat istimewa kerana ia merupakan suatu hikmah.

 Allah berfirman dalam kitabnya yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah telah memberikan kurnia bagi orang-orang yang beriman, ketika dia telah mengutuskan seorang rasul kepada mereka antara mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka dan membersihkan mereka (dari sifat-sifat yang jahat) lagi mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka. sesungguhnya mereka sebelum itu dalam kesesatan yang nyata." (Ali Imran:164)

 Berdasarkan ayat tersebut, kebanyakan ulama dan penyelidik berpendapat, hikmah yang  dimaksudkan ialah sesuatu yang diperlihatkan oleh Allah kepada baginda daripada rahsia agama dan hukum syariat-Nya. Mereka memanggilnya sebagai sunnah.

 Justeru, selaku umat Muhammad, Muslim hari ini tidak wajar mensia-siakan sunaah peninggalan baginda. Mengabaikannya tidak lebih daripada suatu kerugian.

Wednesday, February 9, 2011

Mengumpat amalan tercela

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan.
Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat. (riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban)
Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri. (riwayat Abu Daud)
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”.
Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.
Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab: “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat kelak.
Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.
Justeru tinggalkan amalan buruk berkenaan. Janganlah kita melampaui batas apabila kita tidak menyukai seseorang sehingga kita sanggup memburuk-burukkkannya di belakang.
Ingatlah setiap apa yang kita lakukan pasti ada pembalasan sama ada ia perbuatan baik atau sebaliknya.

Sunday, February 6, 2011

Untukmu dan Untukku


Apakah hatimu seperti batu?
Tidak sayu saudaramu dipalu,
Tidak pilu hilang peganganmu,
Tidak malu persendakan agamamu,
Biarkan nafsu menjaga dirimu.

Apakah kamu sudah lupa?
Pergerakanmu diperhatikan oleh Maha Esa,
'Illiyin dan Sijjin saksi rahsia di dada,
Terbongkar semua di hari Bencana,
Saat matahari seakan sejengkal dari kepala.

Rasulullah kekasihNya jadikan teladan,
Akhlaknya seperti al-Quran berjalan,
Kehadirannya membawa angin ketenangan,
Sentiasa berjalan memberi pesanan,
Ikutlah arahanNya laranganNya tingalkan.

Melihat mendengar nikmatNya padamu,
Langit dan bumi disediakan untukmu,
Gunakan akal dan mata hatimu,
Syukurlah dan sujud pada Tuhanmu,
Tunaikan perintahnya sehingga diseru.

Syurga dan neraka sudah dikhabarkan,
Sebagai hadiah juga amaran,
Setiap kamu bergelar insan,
Tiada terlepas dari perhitungan,
Kembalilah kepada sunnah Rasul dan al-Quran.

Marilah wahai saudara-saudaraku,
Bangunlah dari tempat beradu,
Bertaubatlah dari kesalahan lalu,
Janganlah lupa janganlah ragu,
Aku dan kamu milik Yang Satu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...